KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu lori didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan memiliki 1,677.1 liter minyak diesel tanpa kebenaran pada Julai 2023 lalu.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli menetapkan denda tersebut selepas tertuduh, Mohd. Rozi Mohd. Zain, 39, menukar pengakuan kepada bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan.
Beliau turut membuat keputusan melepas dan membebaskan tiga tertuduh lain kes sama iaitu Hasdi Mustapa, 33; Hasrul Azly Mustapa, 44, dan Mohamad Saufi Abdull Ghapa, 30, berikutan pengakuan bersalah Mohd. Rozi tersebut.
Sebelum ini keempat-empat tertuduh termasuk Mohd. Rozi membuat pengakuan tidak bersalah sewaktu sebutan pertama kes di mahkamah sama pada 18 November tahun lalu.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Rozi didakwa memiliki 1,677.1 liter minyak diesel tanpa kebenaran pihak berkuasa.Barang kawalan tersebut ditemukan dalam tangki tambahan plastik di atas sebuah lori dipandu tertuduh pada pukul 1.55 pagi, 6 Julai 2023.
Bahan api tersebut dijumpai sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Paka, Dungun. – UTUSAN