TAPAH: Pelajar Orang Asli yang meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semalam, bakal menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, biasiswa penuh itu melibatkan kumpulan pelajar yang memperoleh keputusan 5A ke atas.
“Sebagai Menteri yang menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di mana Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berada di bawahnya, saya telah arahkan Pengerusi Mara supaya 87 pelajar yang cemerlang ini wajib diberikan biasiswa 100 peratus.
“Biasiswa ini untuk mereka melanjutkan pelajaran di Institusi Pendidikan MARA (IPMA) atau memohon institusi lain di bawah MARA seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Poly-Tech MARA dan German Malaysian Institute (GMI),” katanya ketika berucap pada Majlis Santuni Kasih Syawal di Kampung Orang Asli Sungai Kroh, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir; Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun.
Menurut Ahmad Zahid, keprihatinan kerajaan terhadap pendidikan Orang Asli turut merangkumi pelajar yang memperoleh keputusan SPM 5A ke bawah di mana mereka boleh melanjutkan pelajaran di institusi di bawah MARA.
Beliau berkata, terdapat beberapa pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diwujudkan khusus untuk anak-anak dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
“Tawaran ini tiada kena mengena dengan PRK DUN Ayer Kuning. Ia terbuka kepada semua lepasan SPM di seluruh negara bukannya untuk pelajar di sini sahaja.
“Oleh kerana MARA di bawah KKDW, adalah munasabah untuk meletakkan anak-anak Orang Asli ini di bawah institusi pendidikan di bawah MARA,” katanya.
Tambah beliau, keputusan itu dibuat sebagai menzahirkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan anak-anak Orang Asli tidak tercicir daripada arus pendidikan tinggi.
“Ini keprihatinan yang diperlihatkan oleh kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana saya membantunya menterjemahkan pelaksanaan kepada seluruh kumpulan masyarakat termasuk Orang Asli,” katanya.
Pada peperiksaan SPM 2024, seramai 1,932 pelajar Orang Asli menduduki peperiksaan itu di seluruh negara di mana 87 orang memperoleh keputusan cemerlang 5A ke atas diikuti Pahang merekodkan jumlah tertinggi seramai 40 orang diikuti Johor (17), Perak (14), Negeri Sembilan (6), Selangor (6), Melaka (3) dan Kelantan (1). – UTUSAN