Parti tidak patut kena tempias - Rahim Tamby Chik

Parti tidak patut kena tempias – Rahim Tamby Chik

MOHAMAD ALI Mohamad (kiri) dan Abdul Rahim Thamby Chik
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Parti tidak sepatutnya terkena tempias jika sesuatu kesalahan itu dilakukan oleh individu.

Itu penegasan dibuat Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik susulan bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad direman enam hari bermula Selasa lalu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Abdul Rahim berkata, masih terlalu awal untuk mengulas perkara itu memandangkan kes masih di peringkat siasatan, namun imej dan pengaruh Bersatu di Melaka tidak terjejas.

Beliau berkata, pihaknya menghormati proses undang-undang dan menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah.

“Sebagai Ketua Bersatu Melaka jika terdapat ahli Bersatu yang disyaki terlibat kes mahkamah, maka kita perlu respons (bertindak) mengikut prinsip kedaulatan undang-undang. Parti tidak sepatutnya terkena tempias jika kesalahan itu dilakukan oleh individu.

“Saya berpandangan kes berkenaan tidak menjejaskan imej dan kedudukan Bersatu di Melaka. Kita tunggu bagaimana kes ini diputuskan kelak kerana siapa menang atau kalah kita tidak tahu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Mohamad Ali direman enam hari bagi membantu siasatan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berkaitan kerja-kerja tambakan laut antara 2021 hingga 2023.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menegaskan, tidak mempunyai sebarang kaitan sama ada secara langsung atau tidak berhubung penahanan Mohamad Ali.

Ab. Rauf berkata, sebarang dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan penahanan tersebut adalah tidak berasas, bersifat spekulatif dan untuk mengelirukan rakyat.

Tambah Abdul Rahim, perkara sedemikian sudah menjadi kebiasaan dalam arena politik hari ini memandangkan ramai pemimpin sebelum ini dihadapkan ke mahkamah tanpa asas yang kukuh.

“Jadi dia mungkin akan disabitkan (kesalahan) atau tidak. Buat masa ini saya tidak fikir kita tidak boleh ulas (kes) sebab dia sudah dibawa ke mahkamah.

“Masih banyak proses yang perlu dilalui. Justeru, kita tidak boleh mengandaikan bahawa kes ini sebagai cubaan (pihak tertentu) untuk mengacau pengaruh Bersatu di Melaka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya