KUALA LUMPUR: Malaysia mengemukakan rayuan kepada Myanmar agar melanjutkan tempoh gencatan senjata yang dijadualkan berakhir esok, bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan secara menyeluruh tanpa diskriminasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, permintaan itu disampaikan kepada Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), Mahn Win Khaing Than.
“Gencatan senjata sangat kritikal bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada semua tanpa diskriminasi.
“Kita telah menghantar satu lagi rayuan untuk lanjutkan gencatan senjata dan berharap semua pihak menghormatinya demi rakyat Myanmar yang sedang menderita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia Madani dan Rumah Mampu Milik Mukim Batu, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai dakwaan bahawa terdapat pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh pihak bertelagah di Myanmar, Anwar berkata tuduhan sedemikian tidak berlaku secara menyeluruh.
“Tuduhan ketidakpatuhan terhadap perjanjian itu tidak berlaku dalam semua kes,” katanya.
Sebelum ini, junta Myanmar dilaporkan bersetuju melanjutkan tempoh gencatan senjata susulan gesaan daripada pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu ruang masa tambahan untuk mengurus bantuan pasca bencana.
Negara itu berdepan kesan dahsyat selepas dilanda gempa bumi berukuran 7.7 magnitud, mengorbankan sekurang-kurangnya 3,700 nyawa serta memusnahkan sebahagian besar kawasan di tengah Myanmar. – UTUSAN