KUALA LUMPUR: Seorang penganggur yang mengaku bersalah membunuh ibu dan bapanya di Kampung Sungai Penchala dua tahun lalu disahkan waras oleh Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak.
Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah memaklumkan hasil laporan mental tertuduh, Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali, 44, itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy pada sebutan kes itu hari ini.
“Tertuduh tidak menghidap penyakit mental. Semasa kejadian berlaku, tertuduh berada dalam keadaan mental yang waras dan sedar akan sebab dan akibat daripada perbuatannya. Keadaan mental tertuduh juga stabil pada tarikh laporan ini ditulis dan boleh dibicarakan,” kata peguam itu.
Peguam bela, Mohd. Ruzaini Zulkifli yang mewakili Afendi mengesahkan hasil laporan itu dan memaklumkan prosiding boleh diteruskan dengan mengambil kira pengakuan salah yang dibuat tertuduh sebelum ini.
Mahkamah menetapkan 20 Mei ini untuk fakta dan hukuman.
Pada 6 September 2024, Afendi mengaku bersalah atas tuduhan membunuh bapanya, Muhammad Agus @ Muhamed Ali Omar, 82, dan ibunya, Darlisma Njatu Saleh, 72, di rumah mereka di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir 6 di sini.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara pukul 7.10 dan 7.20 malam pada 9 Disember 2023.
Mahkamah bagaimanapun pada ketika itu tidak menerima pengakuan tersebut sebaliknya mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri bagi memastikan pengakuan itu dibuat dalam keadaan waras serta sukarela.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sepasang warga emas ditemukan mati dengan beberapa kesan tikaman pada tubuh di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala.
Suspek yang melarikan diri telah diberkas oleh polis ketika bersembunyi di terowong Penchala di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur.
Polis telah mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah dan ujian saringan air kencing menunjukkan lelaki itu positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan morfin. – UTUSAN