Lebih 40 tan kaki dan hati ayam bernilai hampir setengah juta dirampas

 Lebih 40 tan kaki dan hati ayam bernilai hampir setengah juta dirampas

SHAHRUM Hashim (dua dari kanan) menunjukkan kaki ayam sejuk beku yang dirampas dalam serbuan di sebuah gudang sekitar kawasan Perindustrian Padang Besar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kegiatan penyeludupan kaki dan hati ayam sejuk beku tanpa Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) terbongkar hasil serbuan pihak berkuasa yang merampas lebih 41,000 kilogram atau 41 tan metrik bahan berkenaan, dianggar bernilai hampir RM500,000 di sebuah gudang tanpa alamat di sekitar kawasan Perindustrian Padang Besar, di sini, semalam. 

Serbuan oleh pegawai dan anggota risik Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak sekitar pukul 7 petang itu dilakukan selepas pemerhatian dilakukan selama hampir dua jam di lokasi berkenaan.

Ketika serbuan, dua individu turut dikenalpasti sedang leka mengisi barangan sejuk beku itu ke dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand. 

Komander Bridged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas lima kontena sejuk beku di gudang berkenaan yang membawa kepada penemuan 31.6 tan metrik kaki dan 10.2 tan metrik hati ayam.

Katanya, sebelum itu, pemeriksaan ke atas kenderaan pacuan empat roda tersebut turut telah menemukan ubi kentang dengan anggaran berat 1,400 kilogram (kg).

“Kaki dan hati ayam yang dirampas itu dianggarkan bernilai hampir RM500,000 iaitu kaki ayam bernilai RM379,200 manakala hati ayam bernilai RM102,000. Manakala ubi kentang dirampas itu bernilai RM42,000.

“Jumlah keseluruhan rampasan barangan sejuk beku itu termasuk kenderaan, kontena dan forklift bernilai kira-kira RM1.89 juta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Shahrum berkata, semakan ke atas dua individu lelaki warga Thailand itu mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan penyimpanan barangan sejuk beku.

Katanya, dua lelaki berusia 22 dan 34 tahun itu juga didapati tidak mempunyai permit kerja dan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar.

“Barangan rampasan sejuk beku itu juga turut diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bagi siasatan lanjut. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728] dan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN