PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memeriksa sebanyak 323,876 kenderaan sepanjang pelaksanaan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) 2025 yang diadakan di seluruh negara dari 24 Mac hingga 8 April lalu.
Hasil operasi tersebut, sebanyak 33,452 kenderaan telah dikenakan tindakan manakala 58,596 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan serta sebanyak 683 kenderaan turut disita.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sebanyak 6,687 aduan kesalahan lalu lintas diterima melalui Aplikasi MyJPJ dalam tempoh tersebut, dengan tiga kesalahan utama yang paling banyak dilaporkan ialah memotong barisan (1,766), memandu di lorong kecemasan (1,625) serta gagal mematuhi lampu isyarat merah (843).
“Operasi itu dilaksanakan bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya berada dalam keadaan optimum, khususnya dalam tempoh musim perayaan yang mencatat peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.
“Pelbagai strategi penguatkuasaan telah digerakkan sepanjang Op HRA 2025 antaranya termasuk larangan pergerakan ke atas kenderaan barangan (road-ban), penyamaran anggota penguat kuasa dalam bas dan lori serta rondaan bersepadu di lokasi-lokasi panas kemalangan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Op HRA 2025 dan Sambutan Aidilfitri, di sini hari ini.
Pada majlis sama, Aedy turut menyampaikan sijil penghargaan kepada sembilan pengamal media atas kerjasama mereka menjayakan Op HRA 2025.
Antara agensi media terbabit adalah Utusan Malaysia, Harian Metro, Berita Harian, New Straits Times, TV3, 999, Sinar Harian, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Sementara itu, Aedy berkata, penguatkuasaan yang melibatkan kenderaan berat akan lebih tegas terutamanya kesalahan-kesalahan lebih muatan.
Menurutnya, pihak JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik kenderaan atau pemandu yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay bagaimanapun berkata, jumlah kemalangan maut sepanjang Op HRA 2025 dilaksanakan mencatatkan penurunan 41 peratus dengan 77 kes berbanding tahun lalu, iaitu 131 kes.
“Turut berkurangan adalah jumlah kematian akibat kemalangan iaitu 59 kematian berbanding 144 kematian pada tahun lalu,” katanya. – UTUSAN