KUALA LUMPUR: “Saya tidak mahu ambil masalah orang sebagai masalah kita”.
Demikian respon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perang dagang yang berlaku ketika ini antara China dan Amerika Syarikat (AS).
Kata beliau, kehadiran Presiden Chin, Xi Jinping ke Malaysia bukan sekadar tanda penghormatan kepada negara ini tetapi kemuncak pada hubungan dua negara yang akrab dalam semua bidang.
“Sikap Malaysia dan ASEAN adalah mempunyai hubungan yang baik dalam konsep sentraliti, kita hormat dan tidak ada masalah. Saya tidak mahu ambil masalah orang sebagai masalah kita.
“Kita percaya hubungan dengan China bukan sahaja (perlu) diteruskan tetapi harus ditingkatkan,” katanya dalam temubual esklusif bersama sempena lawatan Astro Awani bersempena lawatan Presiden China ke Malaysia.
Terbaharu, AS mengumumkan bahawa China kini berdepan kadar cukai baharu sehingga 245 peratus ekoran tindak balas perdagangan oleh Beijing.
Menurut kenyataan White House pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA), langkah itu menyusuli arahan pentadbiran terbaharu Presidennya, Donald Trump yang melancarkan siasatan keselamatan negara terhadap import bahan mentah penting.
Anwar berkata, negara tidak terjejas dengan perang dagang antara dua negara besar itu memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang bebas, merdeka dan berdaulat.
“Dasar kita tidak menyorok, maknanya kita secara terbuka menyatakan pendirian kita. Yang baiknya ialah kerana ini juga (merupakan) konsensus di negara ASEAN.
“Jadi sebab itu, kita dengan China bila untuk kepentingan rakyat (dan) ekonomi negara (serta) kepentingan pembangunan dan keutuhan negara seluruhnya, kita tidak seharusnya ditekan oleh mana-mana pihak.
“Setakat ini kita tidak menerima tekanan itu setakat ini, jadi kita ambil sikap siapa yang baik,” jelasnya.
Beliau menekankan bahawa sambutan yang dilakukan Malaysia ke atas China adalah kerana negara berkenaan merupakan sebuah negara yang besar, ekonomi dan ketenteraannya juga sangat kuat.
“Kita tidak pernah merasakan satu permasalahan atau tekanan, hubungan kita itu dianggap sebagai satu negara yang setara dengan mereka.
“Perbincangan (serta) perhormatan yang diberikan itu bagi saya sangat bermakna,” katanya.-UTUSAN