PETALING JAYA: Filem aksi, Blood Brothers terus mencatat rekod kutipan terbaharu sebanyak RM50 juta selepas dua minggu tayangan.
Peningkatan luar biasa itu juga turut membuktikan filem pecah panggung tersebut telah berjaya meletakkan industri perfileman tanah air pada tanda aras yang tinggi.
Menurut pengarah bersama Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, mereka bersyukur apabila filem yang berkisarkan mafia dan gengsterisme itu menerima sambutan yang positif dalam kalangan penonton.
“Kami amat bersyukur melihat kutipan yang terus meningkat dan kini mencapai tahap yang begitu luar biasa. Ini semua tidak akan berlaku tanpa sokongan padu daripada penonton Malaysia.
“Terima kasih kerana terus mempercayai dan menyokong filem ini dari awal hingga sekarang,” katanya.
Sebelum ini, filem yang dibintangi barisan pelakon hebat seperti Syafiq Kyle, Sharnaaz Ahmad, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly, Zamarul Hisham, Wan Hanafi Su dan Amelia Henderson telah berjaya meraih kutipan pecah panggung RM45.7 juta dalam tempoh 11 hari tayangan di pawagam.
Kejayaan hebat filem terbitan Skop Productions dan Primework Studios itu turut menempatkannya di kedudukan keempat dalam senarai Top 5 filem tempatan terlaris sepanjang zaman.-UTUSAN