PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti kemampanan dan kedudukan kewangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mengkaji semula kadar pinjaman secara menyeluruh.
KPT berkata, pihaknya menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan mempertimbangkan kajian semula kadar pinjaman dan terma pembayaran balik hutang PTPTN bagi membantu peminjam dengan lebih baik sekali gus menangani isu hutang tertunggak yang tinggi.
Katanya, kementerian melalui institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing turut peka serta menyediakan bantuan sewajarnya kepada pelajar yang berkeperluan dan menghadapi sebarang kesukaran sepanjang pengajian.
“Pihak kementerian turut menyedari keluhan pelajar, namun hutang keseluruhan PTPTN telah mencecah RM40 bilion dan hutang tertunggak sebanyak RM11 bilion setakat ini.
“Dalam hal ini, PTPTN terus membantu peminjam untuk menyelesaikan hutang melalui rundingan bagi pembayaran balik yang lebih fleksibel tanpa membebankan peminjam melalui pelbagai cara dan kaedah,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, KPT memaklumkan, pendekatan penuh empati dilaksanakan oleh PTPTN bagi memastikan semua ruang diberikan kepada peminjam selari dengan nilai teras Malaysia Madani iaitu ihsan.
Katanya, ini juga bagi memastikan pendidikan tinggi di Malaysia kekal inklusif, mampan dan relevan untuk generasi akan datang. – UTUSAN