PARLIMEN: KPT hormati pandangan mahasiswa berhubung AUKU

PARLIMEN: KPT hormati pandangan mahasiswa berhubung AUKU

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menghormati pandangan mahasiswa seluruh negara yang menggesa Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dimansuhkan atau dikaji semula.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, AUKU merupakan akta yang perlu disesuaikan dengan perkembangan semasa dan KPT sentiasa terbuka terhadap pandangan daripada pelbagai pihak.

“Kita sentiasa menginginkan satu idealisme perjuangan. Kami menghormati pandangan mereka kerana ingin memberi input, dan ini tidak bermakna kerajaan langsung tidak mengambil tindakan dalam konteks AUKU.

“AUKU adalah satu akta yang penuh perbahasan, kontroversi dan perdebatan, di mana sebahagian besar daripada kita yang berada di sini pernah terlibat semasa menjadi siswa di kampus.

“Oleh itu, kami menghormati pandangan pelajar melalui perbahasan sihat serta pertemuan di kampus mengenai keperluan perubahan yang perlu dilaksanakan,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPT di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Zambry berkata, AUKU bukan sekadar berkaitan kebebasan pelajar, sebaliknya merangkumi penubuhan 18 universiti, pentadbiran, punca kuasa dan pengoperasian institusi.

Katanya, proses penambahbaikan AUKU memerlukan penelitian dan pelaksanaan yang berperingkat.

“Sewaktu AUKU digubal pada 1971, ia dilihat secara komprehensif dengan 44 seksyen termasuk 32 seksyen berkaitan tadbir urus. Ia merupakan proses yang panjang dan telah dipinda dari semasa ke semasa.

“Pada 2012, pindaan dilakukan bagi pemerkasaan terutama berkaitan sekatan terhadap kebebasan mahasiswa. Pindaan diteruskan dan terbaharu pada tahun lalu ia dibahaskan di Parlimen,” katanya.

Menurut Zambry, beliau tidak pernah menolak cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Naib Canselor (NC) dan pelantikannya di universiti awam tertakluk kepada proses pencarian terbuka serta penilaian lapangan.

“Jawatankuasa akan menilai calon berdasarkan permohonan yang diterima. Proses ini turut melibatkan pemegang taruh dan perwakilan pelajar sebelum cadangan dikemukakan kepada menteri,” katanya.

“Sepanjang pengalaman saya dua tahun sebagai menteri, saya tidak pernah menolak cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh jawatankuasa itu,” katanya.

Terdahulu, mahasiswa dari pelbagai universiti awam seluruh negara berhimpun secara aman bagi mendesak kerajaan memansuhkan AUKU yang didakwa terus mengekang kebebasan dan autonomi mahasiswa.

Himpunan di bawah Liga Mahasiswa Malaysia yang berlangsung di hadapan Parlimen itu mencerminkan kebangkitan suara mahasiswa yang menuntut reformasi menyeluruh terhadap sistem tadbir urus pendidikan tinggi negara. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×