PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melakukan intervensi segera bagi semua subjek termasuk Matematik yang mengalami penurunan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 baru-baru ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sebaik sahaja keputusan SPM keluar, pihaknya akan melakukan intervensi-intervensi terhadap subjek yang menunjukkan penurunan menerusi pelbagai pendekatan.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan putus asa dalam melihat intervensi sesuai kepada semua subjek termasuk Matematik.
“Sebagai contoh, tahun lalu apabila Bahasa Melayu dan Sejarah menunjukkan penurunan, maka kita terus buat intervensi segera.
“Dan tahun ini keputusan itu menunjukkan intervensi kita berjaya, khususnya untuk Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO Ke-56 2024 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang mendedahkan seramai 84,025 calon gagal dalam subjek Matematik dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024 baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, proses intervensi bukan untuk subjek tertentu sahaja sebaliknya semua subjek.
“Komitmen kita jelas iaitu kita akan lebih bekerja keras untuk memastikan untuk tahun-tahun mendatang untuk setiap subjek ini menunjukkan peningkatan termasuk Matematik.
“Insya-Allah, saya sangat yakin dan percaya setiap intervensi itu ada hasil dan menunjukkan kekuatan guru-guru kita dalam menangani isu-isu keciciran ataupun kegagalan ini dengan lebih efektif,” katanya. – UTUSAN