PUTRAJAYA: Sebuah kompleks sukan akan dibina di Putrajaya bagi menyokong jenis-jenis sukan berprestasi tinggi dan membantu atlet-atlet di Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, walaupun masih lagi di peringkat perbincangan, namun cadangan untuk membina kompleks sukan itu telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita telah berbincang di peringkat pengurusan tertinggi dan pihak yang berminat untuk bersama-sama dengan kita iaitu Putrajaya Holdings. Kita juga telah melihat kawasan yang sesuai di Putrajaya iaitu di Presint 13.
“(Kita) kemudiannya mengemukakan cadangan ini kepada Perdana Menteri. Alhamdulillah, cadangan itu diterima baik oleh beliau dan kita masih lagi memperhalusinya (cadangan pembinaan kompleks sukan),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Madani kepada Badan Sukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2025 di sini hari ini.
Pada majlis itu, Jabatan Wilayah Persekutuan menerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menyampaikan bantuan Madani berjumlah RM278,000 kepada 77 badan sukan.
Sebelum ini, bantuan Madani sebanyak RM56,000 juga telah disampaikan kepada 22 badan sukan di Wilayah Persekutuan Labuan menjadikan jumlah keseluruhan RM334,000.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan bersama Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) berhubung pembinaan kompleks sukan tersebut.
Menurut Zaliha, beliau juga telah mengarahkan MSWP untuk memperkenalkan sistem penarafan bintang bagi badan-badan sukan untuk memastikan pengurusan badan sukan di Wilayah Persekutuan sentiasa berada dalam keadaan tata kelola yang cekap, sistematik dan berintegriti. – UTUSAN