KEMAMAN: Gara-gara gagal mematuhi syarat lesen di bawah Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, sebuah kilang sawit didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Hakim Wan Suhaila Mohd, membuat keputusan itu selepas wakil syarikat itu membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap syarikat itu.
Kilang yang beroperasi di Dungun itu didapati bersalah melakukan kesalahan melepaskan efluen dengan kandungannya melebihi had-had yang ditentukan dalam syarat jadual pematuhan lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu.
Kilang itu didapati melanggar syarat lesen yang melebihi had-had yang ditetapkan di dalam Jadual Pematuhan Lesen, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Premis Yang Ditetapkan)(Minyak Kelapa Sawit Mentah) 1977.
Sementara itu, Timbalan Pengarah JAS negeri, Zakaria Ahmad @ Mohd. berkata, semua pemegang lesen perlu mematuhi syarat lesen bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang. – UTUSAN