100,000 penjawat awam AS sedia letak jawatan besar-besaran

100,000 penjawat awam AS sedia letak jawatan besar-besaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Donald Trump dijangka menyaksikan peletakan jawatan beramai-ramai terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) pada Selasa ini, apabila lebih 100,000 penjawat awam bersedia berhenti.

Krisis ini berlaku ketika Kongres berdepan tarikh akhir Selasa untuk meluluskan dana tambahan atau berisiko mencetuskan penutupan kerajaan.

Rumah Putih turut mengarahkan agensi-agensi Persekutuan menyediakan pelan pemecatan besar-besaran sekiranya pertikaian politik gagal menghasilkan persetujuan.

Ramai pekerja yang bakal meninggalkan perkhidmatan menerusi program tersebut mendakwa suasana kerja penuh ketakutan dan ugutan memaksa mereka tiada pilihan selain berundur.

“Pekerja persekutuan kekal kerana misi. Tetapi apabila misi itu diketepikan, mereka dijadikan kambing hitam, keselamatan pekerjaan tergugat dan keseimbangan kerja-kehidupan semakin hilang, mereka akan pergi,” kata seorang bekas kakitangan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (Fema) kepada The Guardian.

Menurut laporan Demokrat Senat pada Julai, program ini menelan kos sebanyak AS$14.8 bilion (RM62.39 bilion) dengan kira-kira 200,000 pekerja dibayar gaji penuh serta faedah walaupun bercuti pentadbiran sehingga lapan bulan.

Namun pegawai Trump mempertahankan langkah itu dengan alasan ia akan mengurangkan perbelanjaan jangka panjang kerajaan.

Pejabat Pengurusan Personel turut mengkritik perlindungan pekerjaan kakitangan awam, sambil menegaskan kerajaan sepatutnya mengamalkan sistem pekerjaan fleksibel moden seperti kebanyakan majikan swasta.

Jurucakap Rumah Putih pula menegaskan program itu tidak menambah kos kepada kerajaan kerana pekerja terbabit tetap akan menerima gaji.

“Malah, ini adalah pelan pengurangan tenaga kerja terbesar dan paling berkesan dalam sejarah, dijangka menjimatkan kerajaan sebanyak AS$28 billion (RM118 billion) setahun,” katanya.

Secara keseluruhan, dianggarkan sekitar 275,000 pekerja akan meninggalkan perkhidmatan melalui program perletakan jawatan tertangguh, skim pemisahan sukarela, persaraan awal dan kadar keluar biasa. Ribuan lagi telah diberhentikan susulan arahan pengurangan tenaga kerja.

Eksodus besar-besaran ini merupakan kemerosotan terbesar tenaga kerja awam persekutuan dalam tempoh setahun sejak Perang Dunia Kedua. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN