Nur ‘Azhiimah penerima tunggal biasiswa Al-Idrisi UMT

Nur ‘Azhiimah penerima tunggal biasiswa Al-Idrisi UMT

NUR ‘AZHIIMAH Mohd Ali menjadi penerima tunggal biasiswa Al Idrisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bernilai RM18,135, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: “Saya tidak sangka dipilih sebagai penerima biasiswa. Ia satu penghargaan besar dan benar-benar memberi semangat baharu untuk saya terus berusaha dalam pelajaran.”

Demikian kata Nur ‘Azhiimah Mohd. Ali, 28, pelajar Sarjana Muda Sains Akuakultur dengan Kepujian di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang diumumkan sebagai penerima tunggal Biasiswa Al-Idrisi UMT bernilai RM18,135.

Nur ‘Azhiimah berkata, bantuan itu bukan sekadar meringankan beban kewangan keluarganya, malah menjadi dorongan untuk menamatkan pengajian dengan lebih fokus dan bermotivasi.

“Saya ada melalui sesi temuramah untuk biasiswa ini namun tidak meletakkan harapan yang tinggi. Saya anggap ini rezeki,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas di Dewan Sultan Mizan, UMT, di sini.

Anak sulung daripada empat adik- beradik kepada pasangan Mohd. Ali Ismail, 56, dan Zaharah Ismail, 50, itu kini dalam tahun ketiga pengajian.

Katanya, dia sangat menghargai keprihatinan pihak universiti dan agensi penyumbang zakat yang menyediakan biasiswa kepada pelajar memerlukan bantuan dan berpotensi.

“Saya tidak sia-siakan peluang dan akan membalas kepercayaan ini dengan kejayaan. Suati hari nanti saya ingin menyumbang semula kepada masyarakat sepertimana saya menerima bantuan hari ini,” katanya.

Bagi Muhammad Hafizi Mohd Arifin, 18, pelajar Diploma Perikanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pula menerima bantuan komputer riba melalui sumbangan Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas.

Muhammad Hafizi berkata, dia tidak mempunyai komputer riba ketika memulakan pengajian beberapa bulan lalu.

“Saya rasa sangat bersyukur dan gembira kerana selepas ini tak perlu lagi pinjam komputer riba kawan untuk siapkan tugasan,” katanya.

Muhammad Hafizi, anak kepada pasangan penoreh getah dari Jerantut, Pahang, merupakan antara lebih 1,000 pelajar UMT yang menerima manfaat daripada sumbangan zakat berjumlah RM1.8 juta yang disalurkan dalam satu majlis khas di Dewan Sultan Mizan, UMT.

Sumbangan zakat yang berjumlah RM1.8 juta Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas disalurkan kepada pelajar merangkumi tiga bentuk bantuan utama iaitu Bantuan Awal Pengajian sebanyak RM500 seorang kepada 1,000 pelajar baharu, bantuan komputer riba kepada 40 pelajar asnaf dan Biasiswa Al-Idrisi bernilai RM18,135 kepada seorang pelajar cemerlang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN