Kertas siasatan kes ilustrasi Jalur Gemilang diserah ke AGC

Kertas siasatan kes ilustrasi Jalur Gemilang diserah ke AGC

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kertas siasatan membabitkan akhbar Cina berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan dirujuk ke pejabat Peguam Negara semalam.  

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah melengkapkan siasatan dan merujuk kertas siasatan kepada Peguam Negara untuk penelitian lanjut. 

“Setakat ini seramai 54 individu telah dirakam keterangan. Terdapat saksi lain mungkin akan dipanggil sekiranya ada keperluan.

“Siasatan awal mendapati antara alasan diberikan pihak akhbar berkenaan kerana berlakunya kesilapan teknikal dalam penyiaran ilustrasi tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Jumaat lalu, media melaporkan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting akhbar tersebut ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran membabitkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan.

Razarudin dilaporkan berkata, kedua-dua individu ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kita tahan untuk siasatan dan bawa dua individu terbabit ke pejabat bagi mendapatkan komputer serta barang berkaitan kes bagi siasatan selanjutnya namun mereka dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya. 

Terdahulu, pihak polis merakam keterangan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting akhbar Cina berkenaan selama tiga jam di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman.

Ketua Editor itu dikatakan berperanan meluluskan penyiaran ilustrasi tersebut manakala Timbalan Ketua Penyunting terbabit pula adalah pereka grafik gambar berkenaan.

Razarudin berkata setakat ini, pihaknya menerima 40 laporan berhubung isu itu di seluruh negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Selasa lalu, akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia namun gambar bendera tersebut tidak lengkap.

Insiden itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang bertitah agar pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN