IPOH: Kerajaan negeri perlu menyelamatkan sukan bola sepak negeri selepas pemilik kelab Perak FC, XOX Berhad mengumumkan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan akibat masalah kewangan.
Ketua Pembangkang, Razman Zakaria berkata, kerajaan negeri perlu memperkukuhkan kembali peranan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) sebagai badan induk yang bertanggungjawab merancang dan mengurus bola sepak negeri secara profesional dan berintegriti.
Menurutnya, usaha menyelamatkan bola sepak negeri tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak swasta atau individu tanpa pemantauan dan sokongan jelas daripada kerajaan.
“Perak FC memerlukan pelan penyelamat yang disokong oleh kerajaan negeri dengan kerjasama strategik daripada sektor swasta, badan korporat dan kelab sukan.
“Usaha ini harus bersifat menyeluruh dan berlandaskan komitmen politik yang jelas,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Razman berkata, antara langkah penting yang perlu diberi perhatian termasuklah merangka pelan pembangunan sukan yang komprehensif, memperkasakan bakat muda melalui liga semi profesional, sekolah sukan dan program latihan akar umbi yang sistematik.
Beliau berkata, kerajaan negeri perlu menunjukkan keberanian untuk bertindak dan tidak boleh membiarkan kegemilangan bola sepak Perak tenggelam begitu sahaja.
Katanya, generasi muda memerlukan arah dan peluang untuk menyerlah dalam bidang tersebut.
“Kepimpinan kerajaan negeri serta Pafa perlu berpandangan jauh, bertanggungjawab dan bersedia menggalas amanah rakyat untuk mengembalikan martabat bola sepak Perak sebagai pasukan disegani di peringkat nasional,” katanya.
Menurut Razman, sukan bola sepak adalah aspirasi rakyat, khususnya generasi muda yang menjadikan bola sepak sebagai saluran membina jati diri dan semangat kenegaraan.
“Bola sepak bukan sekadar sukan. Ia adalah instrumen pembentukan komuniti, pemangkin perpaduan dan lambang kebanggaan rakyat Perak,” katanya. – UTUSAN