GEORGE TOWN : Semua kerajaan negeri perlu menggubal undang-undang serupa dengan Akta Perkongsian Data 2024 yang berkuat kuasa hari ini, bagi memperluaskan usaha perkongsian data di seluruh negara.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, akta tersebut yang diluluskan di Parlimen pada Disember lalu merupakan perundangan penting yang membolehkan perkongsian data di antara kementerian-kementerian dan agensi-agensi di peringkat pusat.
“Ini adalah satu pencapaian besar kerana buat pertama kalinya kita mempunyai mekanisme undang-undang untuk membolehkan data dikongsi di antara jabatan-jabatan kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Jadi, kita berharap, di peringkat kerajaan-kerajaan negeri juga akan menggubal akta yang sama bagi membolehkan perkongsian data turut dapat dilaksanakan antara agensi serta jabatan di peringkat kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Pusat Operasi Pintar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Komtar, hari ini.
Menurut Gobind, akta tersebut buat masa ini hanya terpakai di peringkat kementerian serta agensi Persekutuan sahaja dan belum melibatkan kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kami berada di Pulau Pinang hari ini untuk menghadiri mesyuarat bersama Exco negeri yang bertanggungjawab dalam bidang digital dan infrastruktur bagi menggalakkan mereka mewujudkan undang-undang serupa,” katanya.
Katanya, sekiranya semua agensi dan jabatan di peringkat kerajaan Pusat dan kerajaan negeri mempunyai mekanisme seragam untuk berkongsi data, ia akan membentuk satu ekosistem data nasional yang kukuh.
Jelas beliau, menerusi akta ini, permintaan untuk data boleh dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan dan dipertimbangkan oleh sebuah jawatankuasa khas yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital.
“Jika permohonan itu memenuhi kriteria yang ditetapkan, maka, data berkenaan akan diluluskan untuk dikongsi, namun, dengan pematuhan terhadap peraturan keselamatan dan privasi.
“Proses permohonan data, termasuk siapa yang berhak memohon, untuk tujuan apa, serta bagaimana data tersebut akan digunakan perlu dijelaskan oleh pemohon data. Kalau data diberikan untuk satu tujuan, maka, ia tidak boleh digunakan untuk tujuan lain tanpa kebenaran,” katanya.
Mengenai kebimbangan berkaitan privasi dan keselamatan data, Gobind berkata, undang-undang sedia ada, termasuk Akta Perlindungan Data Peribadi, akan terus terpakai dan langkah-langkah tambahan akan diambil bagi memastikan keselamatan data terjamin.
“Agenda Berkongsi Data ini penting. Tetapi, pada masa yang sama, kita juga mahu pastikan data digunakan dengan bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN