KOTA BHARU: Tindakan Kerajaan Negeri Kelantan tidak mengiktiraf tanah adat Orang Asli dibuat berasaskan peruntukan undang-undang dan sistem pentadbiran tanah yang sedang berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia.
Pejabat Menteri Besar Kelantan dalam satu kenyataan memaklumkan, pendirian itu konsisten dengan amalan kerajaan negeri sejak sekian lama, berpandukan Kanun Tanah Negara 1965, Akta Orang Asli 1954 serta enakmen-enakmen berkaitan di negeri ini.
“Secara prinsipnya, undang-undang bertulis di Semenanjung Malaysia, Kelantan tidak mengiktiraf konsep tanah adat dalam bentuk yang diamalkan Sabah dan Sarawak.
“Hal ini kerana, kedua-dua negeri itu mempunyai undang-undang khusus mengenai Orang Asal atau Peribumi (Native) yang berbeza dengan undang- undang berkaitan Orang Asli di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kerajaan negeri bagaimanapun sentiasa prihatin terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli dengan mengambil langkah mewartakan penempatan dan kawasan rayau Orang Asli.
Katanya, ia dilakukan menerusi peruntukan perizaban di bawah Kanun Tanah Negara 1965 yang membenarkan mereka menjalankan aktiviti harian tanpa gangguan sebagaimana yang telah dinyatakan semasa ucapan penggulungan berkenaan oleh Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
“Pendirian kerajaan negeri ini dibuat dalam konteks undang-undang bertulis yang berkuat kuasa bukan berdasarkan litigasi kes-kes tertentu di mahkamah yang belum pun sampai ke peringkat muktamad kerana masih di peringkat rayuan.
“Kerajaan negeri amat menghormati keluhuran undang-undang dan sentiasa komited untuk terus menghormati hak-hak yang diperuntukkan di bawah undang-undang, dalam masa yang sama memastikan dasar pentadbiran tanah negeri ini dijalankan secara teratur berlandaskan prinsip undang-undang,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kenyataan Mohd. Nassuruddin bahawa istilah Tanah Adat bagi Orang Asli di Semenanjung Malaysia tidak wujud, disifatkan bukan sahaja mengelirukan malah tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Mustafa Alang berkata, kenyataan yang dibuat semasa sesi penggulungan pada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Rabu lalu itu tidak berlandaskan fakta sebenar selain cuba menutup kebenaran berkaitan perkara tersebut.