Mangsa banjir di PPS meningkat, Ahmad Zahid turun padang

Mangsa banjir di PPS meningkat, Ahmad Zahid turun padang pantau kesiapsiagaan

AHMAD Zahid Hamidi berucap pada Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) Kali Ke-3 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menunjukkan peningkatan apabila seramai 3,400 orang direkodkan setakat semalam, berbanding 3,000 orang pada hari sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah membentangkan laporan terkini kepada Jemaah Menteri mengenai peningkatan jumlah PPS, keluarga terjejas serta mangsa banjir di beberapa negeri.

Katanya, jumlah tersebut dijangka terus meningkat susulan ramalan luruan hujan berlebihan, khususnya di Pantai Timur dan Selatan melibatkan Pahang dan Johor.

“Semalam, saya telah melaporkan kepada Jemaah Menteri luruan hujan di Pantai Timur dijangka meningkat antara lima hingga tujuh kali ganda. Justeru, tahap kesiapsiagaan perlu dipertingkatkan bukan sahaja dalam kalangan penduduk di kawasan titik panas, malah melibatkan semua agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) Kali Ke-3 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, semua agensi di bawah jawatankuasa berkenaan telah digerakkan sepenuhnya bagi menghadapi kemungkinan situasi yang lebih buruk.

Beliau turut memberi jaminan akan mengambil pendekatan secara hands-on dengan turun padang bagi memastikan pelaksanaan pengurusan bencana, khususnya proses pemindahan dan pengoperasian PPS berjalan lancar.

“Saya sendiri akan mengadakan lawatan kerja bagi meninjau kesiapsiagaan serta memastikan kebajikan dan penyantunan terhadap mangsa-mangsa banjir diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Mengulas mengenai penggunaan sekolah sebagai PPS, Ahmad Zahid berkata, beliau akan bersama-sama Menteri Pendidikan bagi memastikan kemudahan seperti dewan dan bilik darjah dapat dimanfaatkan dengan baik tanpa menjejaskan kebajikan mangsa.

Daripada aspek kebajikan, beliau berkata, kerjasama erat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus diperkukuhkan bagi memastikan keperluan asas seperti makanan disediakan secara mencukupi dan teratur.

Selain itu, katanya, kebajikan anak-anak sekolah yang berada di PPS turut diberi perhatian melalui pengisian aktiviti bermanfaat bagi mengelakkan mereka menghabiskan masa tanpa sebarang aktiviti.

“Pegawai pendidikan, guru-guru serta pakar psikologi daripada JKM dan Kementerian Kesihatan turut ditempatkan di PPS bagi memberikan sokongan emosi kepada pelajar serta ibu bapa atau ketua keluarga agar mereka dapat menghadapi bencana ini dengan tabah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×