Kawalan keselamatan Najib di Masjid Negara ikut SOP

Kawalan keselamatan Najib di Masjid Negara ikut SOP

NAJIB Razal membaca doa sambil diiringi pegawai penjara ketika hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Bekas Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada istiadat pengebumian bekas pemimpin tersebut di Masjid Negara, Selasa lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Kawalan keselamatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Masjid Negara dekat sini Isnin lalu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. 

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata, setiap kategori banduan mempunyai tahap risiko tersendiri. 

“Dari segi pematuhan (SOP), memang kami patuhi di mana setiap kategori banduan ada tahap risiko tersendiri. Jadi, kami perlu pastikan keselamatan prospek (banduan) dalam keadaan terjamin. 

“Jadi kalau definisi kasar (dakwaan kawalan Jabatan Penjara terhadap Najib terlalu ketat), tidak timbul isu terbabit sebab kami mahu memperkukuhkan tahap keselamatan terhadap prospek itu sendiri,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni: Kepimpinan Koreksional dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Jabatan Penjara Malaysia di Kompleks Penjara Kajang, di sini, hari ini. 

Menurut Abdul Aziz, dari segi nilai kemanusiaan, setiap insan mempunyai hak untuk diraikan kemahuan mereka dengan mengikut batasan peraturan ditetapkan. 

Terdahulu, media melaporkan Najib diberi ‘pelepasan’ oleh Mahkamah Tinggi untuk memberi penghormatan terakhir kepada Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara. 

Najib, 72, dibenarkan menghadiri istiadat itu ketika perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu sudah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran mengikuti istiadat kepada Jabatan Penjara Malaysia. 

Baru-baru ini, timbul dakwaan menyatakan kawalan keselamatan oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia terhadap Najib ketika berada di Masjid Negara terlalu ketat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN