KUALA LUMPUR: Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) komited menerapkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) secara menyeluruh merangkumi aspek pendidikan berkualiti, kesejahteraan dan kelestarian warga kampus serta kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.
Naib Canselor UPTM, Profesor Dr. Sharifah Syahirah Sy Sheikh berkata, antara fokus utama universiti ialah SDG 17 iaitu Perkongsian untuk Mencapai Matlamat (Strategic Partnership for the Goals) yang menekankan kepentingan kerjasama strategik dan jaringan profesional dalam kalangan graduan.
“Graduan hari ini perlu memastikan diri mereka mampu bekerjasama dengan pelbagai pihak. Keupayaan membina jaringan dan menggunakan kerjasama itu untuk mencapai matlamat lebih besar adalah kunci kejayaan masa depan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UPTM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Dalam aspek pendidikan pula, Dr. Sharifah Syahirah berkata, UPTM menitikberatkan kualiti pembelajaran serta kesejahteraan warga universiti termasuk kebajikan, kesihatan dan kesejahteraan mental pelajar serta kakitangan.
“Apabila kesejahteraan insan dijaga dan hubungan sesama warga diperkukuhkan, ia akan melahirkan persekitaran yang harmoni dan mampan dan inilah nilai yang ingin kami lestarikan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, UPTM melaksanakan pelbagai program berteraskan SDG termasuk aktiviti alam sekitar dan kemasyarakatan seperti Eco Heritage yang melibatkan pelajar, alumni serta pelajar antarabangsa.
“Ramai alumni kami kini berjaya sebagai eksekutif dan juga pengasas syarikat sendiri. Mereka kembali ke kampus untuk berkongsi pengalaman dan menjadi inspirasi kepada pelajar, selari dengan aspirasi SDG,” katanya.
Beliau turut menegaskan, SDG sebenarnya tidak sukar untuk diterapkan kerana 17 matlamat yang terkandung adalah keperluan asas manusia merangkumi kelestarian alam sekitar, pekerjaan, kewangan, hubungan sosial serta perpaduan negara. – UTUSAN










