PETALING JAYA: “Norman kata, awak buatlah apa pun, saya terima sebab awak sudah lahirkan anak-anak saya.”
Demikian kata pelakon, Abby Abadi yang mendedahkan kata-kata bekas suami, Norman Hakim yang berjaya melunturkan egonya sekali gus menamatkan kemelut keluarga mereka yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Menurut Abby, bekas suaminya itu turut mengakui khilaf dan terbuka untuk menerima sebarang akibat daripada kesilapan lampaunya.
“Kata-kata itu membuatkan saya rasa serba salah. Dia kata, dia terima saja apa yang saya katakan kepada dia dan dia minta maaf sebab khilaf dia buatkan saya jadi macam ini,” katanya menerusi sebuah sesi siaran langsung di TikTok.
Tidak mampu menahan sebak, bekas ahli kumpulan Elite itu turut memohon maaf kepada orang ramai malah enggan memanjangkan lagi isu tersebut.
Kata Abby, tujuannya membuat perkongsian sedemikian sebelum ini sekadar mahu memberi kesedaran kepada Norman mengenai tanggungjawabnya terhadap tiga anaknya.
“Saya minta maaf, saya ada salah dan kelemahan. Saya tak pernah bercerita pun selama 17 tahun dan sememangnya saya tak nak cerita pun sebenarnya.
“Saya pun bukanlah baik dan saya mengaku saya salah, saya minta maaf. Saya bukanlah mata duitan atau nak duit sangat pun tapi saya geram sebab bila dia kaya, dia macam lupa anak-anak.
“Apa yang keluar daripada saya itu adalah sekadar nak sedarkan dia tapi saya akui ia satu kesilapan,” ujarnya.
Di akhir perkongsian, Abby turut meluahkan rasa syukur kerana masih berpeluang untuk bersahabat baik dengan Norman meskipun mereka sudah mempunyai keluarga masing-masing.
Pada Sabtu lalu, kemelut keluarga melibatkan Abby, Norman dan Marissa akhirnya terlerai selepas pelakon lelaki itu membawa anak perempuannya berjumpa dengan ibunya bagi sesi memujuk.
Kontroversi mengenai keluarga itu mula menjadi sorotan selepas pelakon drama Gerak Khas itu mendakwa Norma culas dalam memberi nafkah kepada anak-anaknya selepas bercerai.
Bagaimanapun, Abby telah memadam semula segala perkongsian yang pernah dimuat naik mengenai isu keluarganya itu selepas berlembut hati untuk memaafkan Norman dan Marissa.-UTUSAN