BAGAN DATUK: Karnival RISDA MADANI (KARRISMA) merupakan inisiatif murni Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melalui Aspirasi Desa MADANI dalam memperkukuhkan ekosistem pembangunan komuniti pekebun kecil getah seluruh negara.
Ia dicetuskan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau sendiri telah merasmikan KARRISMA Zon Utara 2025 di sini yang berlangsung dari 25 hingga 27 April di Pekarangan Dewan Dato Mohamed Jamrah.
KARRISMA Zon Utara menjadi platform RISDA dalam memperkasa ekosistem keusahawanan desa dengan menghimpunkan penyertaan usahawan pekebun kecil dari Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
RISDA telah menetapkan pelaksanaan program ini di setiap lokasi mengikut Zon Selatan, Zon Timur, Zon Utara dan Zon Borneo.
KARRISMA Zon Utara membawakan konsep jualan produk usahawan bimbingan RISDA dan memperkenalkan kedai konsep yang bercirikan platform pemasaran produk usahawan RISDA di bawah jenama RisSMart Grocer.
“Ia merupakan platform pemasaran strategik yang menggabungkan pelbagai variasi produk termasuklah daripada entiti RisSMart 24 dan RisSMart Butchery.
“Selain itu, penampilan khas gerai jualan makanan usahawan RISDA yang membawakan konsep cita rasa asli setiap negeri dari zon utara.
“KARRISMA Zon Utara turut dimeriahkan lagi oleh penglibatan pelbagai agensi kerajaan, institusi dan pihak swasta, bagi memastikan akses pasaran yang lebih meluas serta memperkasa daya saing usahawan desa terutamanya di kawasan sekitar Bagan Datuk,” menurut RISDA.
Sementara itu Ahmad Zahid berkata, RisSMart24 kini mempunyai 11 cawangan tertumpu di Lembah Klang dengan berjaya mempamerkan prestasi baik seperti pasar raya mini atau serbaneka lain.
Lebih 10,000 pengunjung yang hadir ke KARRISMA Zon Utara dapat diperkenalkan dengan platform pemasaran produk usahawan RISDA di bawah jenama RisSMart Grocer yang menggabungkan pelbagai variasi produk menerusi entiti RisSMart24 dan RisSMart Butchery.
Ahmad Zahid turut kagum dengan kejayaan RISDA membuat inovasi untuk menghasilkan bahan api bio daripada sekerap getah.
“Ini harus diperkembangkan lagi, harus mendapat pengiktirafan badan-badan piawaian. Jika berjaya, permintaan pengeluaran biofuel daripada getah dapat dikomersialkan. Ini boleh mendorong kenaikan harga getah,” katanya.
Pada program itu juga Ahmad Zahid menyampaikan cek Progam Pembangunan RISDA untuk Zon Utara membabitkan nilai keseluruhan RM91.55 juta bagi Program Tanam Semula Getah, Program Skim Getah Matang, Program Pembangunan Keusahawanan dan Program Agromakanan. – UTUSAN