PUTRAJAYA: Masa pembelajaran bagi Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) akan ditambah bermula tahun 2027 demi meningkatkan kesedaran kepada pelajar sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penambahan masa bagi subjek itu akan dilaksanakan sempena bermulanya kurikulum baharu kelak.
“Kita ambil serius kepada maklumat itu, tetapi dalam konteks hari ini memang pendekatan kita insya-Allah pada 2027 iaitu kurikulum baharu, kita akan menambah masa untuk pendidikan PEERS ini.
“Jadi akan ada tanggungjawab dan komitmen besar dari peringkat KPM untuk menambah masa, memberikan pendidikan pada anak-anak tentang isu-isu ini,”katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO Ke-56 2024, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan dibuat Setiausaha Kehormat Majlis Aids Malaysia (MAC) dan Yayasan Aids Malaysia (MAF), Dr Zaiton Yahaya bahawa kes jangkitan HIV dalam kalangan penuntut universiti dan sekolah menunjukkan peningkatan.
Fadhlina berkata, pihaknya juga melaksanakan program-program kesedaran secara meluas di peringkat sekolah demi memastikan pelajar mendapat maklumat tepat tentang cara melindungi diri.
“Juga program khususnya untuk guru-guru juga supaya mereka sampaikan tentang perkara ini dengan lebih baik,” katanya lagi. – UTUSAN