Jonker Walk, Bangunan Merah turun salji

Jonker Walk, Bangunan Merah turun salji

AB. RAUF Yusoh melihat reka bentuk dalaman yang menampilkan ikon pelancongan seperti Jonker Walk di Snow World Melaka Mall, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sektor pelancongan Melaka menambah satu lagi produk ikonik iaitu Snow World Melaka Mall yang memberikan pengalaman bermain salji kepada para pengunjung.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, keunikan taman tema itu antaranya mengangkat warisan budaya negeri menerusi reka bentuk dalaman yang menampilkan ikon pelancongan seperti Jonker Walk, Kampung Morten dan Bangunan Merah.

“Snow World Melaka Mall bukan sekadar taman tema, ia adalah pengalaman salji pertama di Melaka, malah yang pertama seumpamanya di Malaysia yang mula beroperasi pada 21 Mac lalu.

“Taman tema itu direka dengan sentuhan kreativiti moden menampilkan suasana musim sejuk lengkap dengan salji buatan, gelongsor ais, kafe bertemakan cendol gula Melaka dalam salji dan pelbagai aktiviti interaktif untuk seisi keluarga,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Snow World Melaka Mall di sini, hari ini.

Tambah Ab. Rauf, kerajaan negeri akan melancarkan versi baharu Tahun Melawat Melaka (TMM) atau TMM 2.0 penuh gilang-gemilang pada hujung tahun ini.

Ujarnya, majlis pelancaran yang dijadualkan pada 31 Disember itu bersesuaian dengan status Melaka sebagai tuan rumah pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD), September ini.

“Bersempena dengan dua acara terbesar itu kerajaan negeri mengambil keputusan memanjangkan lagi kempen TMM 2.0 pada 2026 yang akan dilancarkan hujung Disember ini. Saya memberi jaminan versi baharu TMM diisi dengan pelbagai acara lebih menarik yang dapat menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong dari luar negara berbanding pada TMM 2024.

“Kita akan tunggu untuk melihat kemeriahannya serentak dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan lokasinya akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

TMM 2024 merekodkan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara seramai 15 juta orang serta menjana hasil keseluruhan RM12.68 bilion menerusi pelbagai aktiviti pelancongan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN