PETALING JAYA: Semua pelajar Institusi Pendidikan Mara (IPMA) termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) boleh melaporkan terus isu buli menggunakan pelbagai ruangan termasuk media sosial.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, semua pelajar MARA boleh melaporkan terus kepada beliau sebarang isu berkaitan buli yang berlaku di asrama masing-masing.
Beliau berkata, sebelum ini pelajar boleh melaporkan isu berkaitan infrastruktur fizikal seperti dewan selera, tandas dan kelas secara terus kepadanya dan kini beliau berharap isu buli dapat dilaporkan dengan cara yang sama.
“Saya merayu agar pelajar-pelajar terutamanya jangan sesekali ragu-ragu untuk melaporkan sebarang perilaku buli di asrama.
“Jangan risau dilabel Jibam, Mat Repot, Baruw dan sebagainya. Jangan sesekali membiarkan diri mahupun taulan dibuli dalam apa jua bentuk.
“Kita kena sama-sama hentikan budaya buli. Tiada tempat untuk pembuli mahupun sebarang bentuk budaya buli di IPMA termasuk MRSM,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, ruangan media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan X sudah dimanfaatkan sepenuhnya sepanjang dua tahun beliau menerajui Mara untuk mendapatkan maklum bala bagi menambah baik potensi institusi yang menjadi payung kepada agenda Melayu-Bumiputera.
“Tindakan turun padang atau ke IPMA sebelum ini turut dibuat berdasarkan aduan dan maklum balas daripada ibu bapa, pelajar serta para pendidik.
“Hasilnya, pelbagai isu seperti kartel makanan, kualiti dewan selera, tandas, asrama, bilik guru dan fasiliti lain berjaya diselesaikan,” katanya.
Susulan itu, beliau juga menegaskan, tiada ruang untuk pembuli mahupun budaya buli di IPMA dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba melindungi pembuli, termasuk pengetua, pengarah, warden, guru atau sesiapa sahaja yang terlibat.
“Jika saya tahu ada yang cuba tutup atau pertahankan kes buli, tindakan amat tegas akan diambil. ‘You Touch You Go’ (awak membuli, awak disingkirkan),” katanya.
Baru-baru ini, tular video rakaman video berdurasi 1 minit 31 saat tersebar di media sosial memaparkan sekumpulan pelajar lelaki MRSM menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil.
Mangsa juga disebat dengan dengan tali pinggang di punggung, menyebabkan tujuh pelajar yang terbabit ditamatkan pengajian serta-merta hasil syor dibuat Jawatankuasa Disiplin MRSM. – UTUSAN