Jambatan bailey mudahkan perhubungan penduduk - Utusan Malaysia

Jambatan bailey mudahkan perhubungan penduduk

MOHAMMAD Nizar Jamaluddin (tiga dari kanan) merasmikan flag off jambatan bailey Sungai Liat, Sungkai dekat Tanjung Malim semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Lebih 500 penduduk Kampung Orang Asli Sungai Tisong di sini lega apabila akses perhubungan darat mereka iaitu jambatan bailey Sungai Liat, Sungkai di sini siap sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, jambatan bailey itu dibina bagi menggantikan jambatan lama yang runtuh di lokasi sama di Sungai Liat.

“Keseluruhan kerja pembinaan jambatan termasuk jalan tuju telah siap sekaligus memberi kemudahan kepada penduduk setempat melaksanakan aktiviti harian seperti biasa.

“Kerja pemasangan telah bermula pada 23 April dan siap sepenuhnya pukul 5 petang hari ini,” katanya di Jalan Felda, Sungai Klah Hot Spring Daerah Batang Padang, Tanjung Malim di sini semalam.

Beliau secara simbolik merasmikan majlis flag off jambatan bailey itu yang turut dihadiri ADUN Behrang, Salina Samsudin.

Jambatan satu lorong sepanjang 42.6 meter dan lebar 3.66 meter itu boleh dilalui kenderaan tidak melebihi 20 tan.

Jambatan yang runtuh itu menghubungkan Felda Residence Hotspring, Buyong Mas Sanctuary Campsite dan Kampung Orang Asli Sungai Tisong serta beberapa lokasi perkhemahan kecil.

Fenomena kepala air menjadi punca jambatan culvert yang berada di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tersebut runtuh.

Terdapat laluan alternatif yang boleh digunakan orang ramai bagi mengakses lokasi terjejas namun ia hanya boleh dilalui menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau motosikal selain gelap dan becak setiap kali hujan lebat.

Mohammad Nizar berkata, kos pembinaan jambatan itu kira-kira RM400,000.

“Jambatan bailey ini menggunakan stok sedia ada dalam simpanan pihak JKR.

“Ia selamat digunakan selain mempunyai kemudahan lampu jalan untuk keselamatan pengguna pada waktu malam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN