PETALING JAYA: Syarikat akhbar berbahasa Cina tempatan menggantung tugas Ketua Pengarang dan Timbalan Ketua Pengarangnya susulan isu Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka hadapan akhbarnya.
Akhbar itu dalam satu kenyataan berkata, penggantungan itu adalah suatu keputusan yang dibuat atas prinsip kebertanggungjawaban.
“Keputusan berkenaan berkuat kuasa serta-merta dan akan diteruskan sehingga siasatan polis berhubung perkara terbabit selesai,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial mengenai ilustrasi Jalur Gemilang yang diletakkan bersebelahan bendera China tidak lengkap apabila tidak diletakkan bulan sabit.
Kesilapan itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia dan menyifatkan akhbar tersebut sebagai tidak peka.
Bagaimanapun, akhbar berbahasa Cina itu tampil membuat permohonan maaf atas kesalahan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa bulan sabit pada muka hadapan akhbar itu.
Dalam permohonan maaf itu, syarikat tersebut memberitah kegagalan memaparkan bulan sabit dalam ilustrasi terbabit berpunca daripada kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
“Kami berasa amat kesal dan kecewa dengan kekhilafan terbabit. Bagi pihak semua kakitangan, kami menyusun 10 jari memohon jutaan maaf kepada semua rakyat Malaysia.
“Pindaan segera sudah dilakukan terhadap ilustrasi versi digital, manakala ilustrasi dipinda dan disempurnakan akan diterbitkan semula pada Rabu dalam versi cetakan akhbar kami,” katanya. – UTUSAN