SUBANG JAYA: Tragedi letupan paip gas di Putra Heights di sini turut menjejaskan emosi kanak-kanak yang terlibat.
Penduduk, Uma Mageshwary, 54, berkata, anak saudaranya cedera pada bahagian tapak kaki akibat serpihan letupan dan kini dirawat di hospital.
Katanya, mangsa masih trauma dan mudah terkejut jika terdengar bunyi kuat.
“Letupan berlaku sangat dekat dengan rumah dan menyebabkan kereta baharu kami juga hangus, hanya tinggal rangka,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, semalam.
Seorang lagi mangsa, Zuraidah Zaibidin, 46, berkata, anak-anaknya menolak untuk ke sekolah kerana takut kejadian seumpama itu berulang.
“Mereka kata mahu duduk di rumah sahaja dengan saya. Saya pujuk supaya mereka tetap ke sekolah,” luahnya.
Sementara itu, Suhaida Suid, 48, pula berharap anak-anaknya beroleh sedikit ketenangan dengan bertemu rakan-rakan di sekolah supaya dapat melupakan trauma dialami.
“Saya sendiri menangis apabila dapat tahu tentang letupan itu. Namun, saya berikan kata-kata semangat terutamanya kepada anak saya yang akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya. – UTUSAN