KUALA LUMPUR: Keupayaan negara untuk untuk mengurus kejadian cuaca buruk, melindungi infrastruktur kritikal dan menjaga komuniti yang terdedah perlu dipertingkat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketahanan negara juga memerlukan dari aspek pelaburan dalam infrastruktur yang mampu menghadapi segala bentuk cabaran, sama ada bencana alam mahupun krisis kewangan.
“Negara-negara jiran kita di Asia Tenggara amat terdedah kepada bencana semula jadi. Tambahan pula, kesan perubahan iklim kini semakin berbahaya dan sukar dikesan.
“Pertumbuhan hijau bukan lagi sekadar soal keprihatinan alam sekitar, tetapi kini menjadi satu keperluan ekonomi yang strategik.
“Teknologi seperti penangkapan karbon (carbon capture), model pengeluaran kitaran (circular production models), dan inovasi rendah pelepasan (low-emission innovation) bukan lagi eksperimen malah ia bakal membentuk landskap perindustrian bagi dekad yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Ucap Tama Perdana Menteri pada Persidangan Pelaburan ASEAN (AIC) 2025, hari ini.
Tambah Anwar, ekonomi digital merupakan bidang yang penuh dengan potensi besar namun mempunyai ketidaksamarataan yang berisiko menambah jurang antara keduanya.
“Transformasi digital di rantau ini sedang giat berlangsung, namun tidak seimbang. Dalam masa yang sama, kemajuan kecerdasan buatan (AI) sedang meluncur dengan pantas seperti kilat.
“Jika kemajuan digital yang tidak seimbang ini tidak ditangani, ia berisiko memburukkan jurang sedia ada. Oleh itu, pelaburan dalam literasi digital, infrastruktur, pemerkasaan dan tadbir urus mesti bergerak seiring,” katanya.
Selain itu kata Anwar, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang membentuk sebahagian besar asas pekerjaan negara sering menjadi pihak terdedah kepada kejutan dan kurang berkeupayaan untuk bertindak balas.
Jelasnya, pematuhan terhadap piawaian kemampanan global boleh menjadi sesuatu yang mencabar bagi sebuah syarikat kecil yang hanya mempunyai lima orang pekerja.
“Oleh itu, Malaysia, dengan sokongan rakan-rakan kerjasama, sedang melancarkan Panduan Pendedahan ESG Ringkas ASEAN untuk PKS.
“Ini merupakan alat praktikal untuk membantu perniagaan kecil mengambil langkah pertama ke arah operasi yang lebih mampan dan telus.
“Inisiatif jelas dan berasaskan realiti ini yang akan menentukan sama ada visi Malaysia untuk ASEAN akan menjadi kenyataan atau sekadar menjadi catatan kaki dalam lipatan sejarah,” katanya. – UTUSAN