PARLIMEN: Keputusan nilai semula ART masih awal - PM

PARLIMEN: Keputusan nilai semula ART masih awal – PM

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Masih terlalu awal untuk kerajaan membuat keputusan menilai semula Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjanjian ART masih belum berkuat kuasa kerana tertakluk kepada proses ratifikasi di bawah undang-undang sedia ada dan AS belum mencadangkan tarikh untuk tujuan ratifikasi.

“Perkara ini dipantau rapat bukan sahaja oleh negara kita, tetapi semua negara. Kerajaan juga ambil kira implikasi dan kesan susulan.

“Perintah eksekutif ini kesan sementara itu bagi Malaysia itu baik kerana ia turun kepada 15 peratus dari 19 peratus, tapi ini hanya berkuatkuasa 150 hari,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai pendirian rasmi kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Agung AS yang mengisytiharkan tarif diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump sebagai tidak sah serta implikasinya terhadap hubungan perdagangan Malaysia-AS.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan perlu menunggu sebarang kemungkinan termasuk langkah-langkah Trump untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Agung AS.

“Apakah kita tunggu sehingga selesai? Kita sentiasa pantau. Kita juga tahu bahawa presiden AS mungkin menggunakan Seksyen 122 IEEPA (Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa) jadi kita belum tahu.

“Kemudian apakah Kongres AS akan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Agung AS atau berbeza pendapat, itu pun masih belum dipastikan,” katanya.

Menurut Anwar, kerajaan akan meneruskan perdagangan dua hala dan tidak mahu mengambil tindakan gopoh hingga menjejaskan kepentingan negara.

“Daripada sudut perdagangan, kita terus dari peringkat sekarang kerana apa yang kenakan sebelum ini, tidak kepada syarikat Malaysia, (tetapi) syarikat AS yang melabur, jadi dikenakan itu melibatkan syarikat mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×