KUALA TERENGGANU: Seorang suri rumah ditahan setelah disyaki mencuri duit tabung berjumlah RM22 di Surau Kampung Padang, Jalan Gelung Bilal, Pasir Panjang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, suspek yang berusia 34 itu ditahan imam surau tersebut dan penduduk sebelum diserahkan kepada polis pada pukul 5 petang.
Katanya, kehadiran suspek di surau tersebut dengan menunggang motosikal disedari penduduk dan dimaklumkan kepada imam surau untuk mengambil bertindak menahannya.
“Sebaik sahaja sampai di surau, imam tersebut mendapati suspek sedang mengumpil tabung surau dengan sebatang besi dan pembaris besi untuk mengambil wang dalam tabung yang berada di ruang solat lelaki,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azli memberitahu, polis merampas sebilah senduk, sebatang pembaris yang dibengkok dan wang tunai berjumlah RM22.
Katanya, suspek tersebut turut dipercayai memecahkan tabung yang berada di ruang solat wanita di surau sama dan melarikan wang RM300 pada 21 April lalu.
“Wanita sama juga disyaki pernah cuba mengumpil tabung surau itu pada 25 April lalu, namun melarikan diri selepas melihat kehadiran penduduk. Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini,” katanya. – UTUSAN