UCYP Universiti terima lebih 300 pelajar baharu - Utusan Malaysia

UCYP Universiti terima lebih 300 pelajar baharu

ANTARA pelajar baharu yang mendaftar di UCYP Universiti di Tanjung Lumpur di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kampus utama UCYP Universiti di Tanjung Lumpur di sini menerima lebih 300 pelajar baharu bagi program diploma dan asasi, menandakan permulaan sesi kemasukan universiti bagi tahun ini.

Naib Canselor UCYP Universiti, Profesor Datuk Dr. Muhammad Fauzi Mohd. Zain berkata, kemasukan itu merupakan siri pertama daripada lima sesi yang dijadualkan sepanjang tahun ini, dengan pengambilan terakhir pelajar dijangka berlangsung pada 20 Julai ini.

“Majoriti pelajar merupakan anak Pahang termasuk komuniti Orang Asli, mencerminkan peranan UCYP Universiti dalam memperluas akses pendidikan berkualiti dan memperkasakan mobiliti sosial. Pendaftaran pelajar baharu bagi Kolej Yayasan Pahang (KYP) turut berlangsung serentak di kampus yang sama.

“Sebagai institusi pendidikan tinggi milik Yayasan Pahang, UCYP Universiti menyokong Aspirasi Pahang 1st dalam pembangunan bakat negeri,” katanya dalam kenyataan di sini.

Muhammad Fauzi berkata, universiti itu menawarkan program dalam bidang kecerdasan buatan (AI), sains dan teknologi, pendidikan, pengurusan, reka bentuk kreatif serta pengajian Islam, selain kerjasama dengan universiti tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya, UCYP Universiti bekerjasama dengan lebih 100 rakan industri bagi memastikan pelajar memperoleh pengalaman dunia sebenar sebelum memasuki alam kerjaya.

“Dengan sokongan lebih 100 rakan industri, pelajar kami bukan sahaja memperoleh ilmu, malah pengalaman praktikal yang signifikan,” katanya.

Beliau berkata, UCYP Universiti turut menawarkan pensijilan profesional, penempatan kerjaya serta peluang menyertai inisiatif seperti Akademi Rel Pahang, selain pendedahan bahasa asing termasuk Inggeris, Mandarin, Arab dan Rusia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN