Hubungan baik pelajar, guru resipi kejayaan raih 9A

Hubungan baik pelajar, guru resipi kejayaan raih 9A

LIMA pelajar mendapat keputusan cemerlang 9A+ (dari kiri), Ahmad Khair Syazwan Abdul Kahar, Khalif Rayn Khaidhir, Nawab Mukhlis Fathanah Zakirrudin, Muhammad Akmal Basha Mustafa Kamal Basha dan Muhammad Qhalif Aiman Mohd Rasfan di Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mempunyai perhubungan yang baik antara pelajar dan guru merupakan antara resipi kejayaan Muhammad Faiq Sunardi, 18, dari Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) dalam meraih keputusan cemerlang 9A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Menurut anak kedua dari empat beradik itu, selain guru-guru di sekolah yang sentiasa dijadikan rujukan, doa dari kedua ibu bapa yang tidak putus-putus turut mendorong dirinya untuk mencapai kejayaan tersebut.

“Saya agak terkejut selepas melibat banyak peningkatan dalam keputusan peperiksaan hari ini dan sudah tentu gembira dengan usaha yang telah membuahkan hasil.

“Kita kena percaya pada guru, apa yang guru suruh buat, kita kena buat, insya-Allah boleh berjaya. Saya juga sentiasa memberi fokus ketika guru sedang mengajar kerana mereka sebagai guru sudah mahir tentang peperiksaan SPM ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada pengumuman keputusan SPM 2024 di SAS semalam.

Muhammad Faiq Sunardi bersama ibu dan ayahnya. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR

Jelas Muhammad Faiq, setakat ini dia belum membuat sebarang keputusan berhubung jurusan yang akan dipilih untuk menyambung pengajian, namun, tertarik untuk mendalami bidang ekonomi dan juga perniagaan.

Dalam nada sebak, bapa Muhammad Faiq, Sunardi Maulan, 46, menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua guru yang banyak membantu anaknya dalam pelajaran.

Sunardi yang bekerja sebagai perunding bebas itu berkata, isterinya, Azlina Ngatdeni, 48, merupakan individu yang banyak berkorban dalam memastikan Muhammad Faiq cemerlang dalam pelajaran.

“Sebenarnya, ibunya yang banyak memberi perhatian kepada pelajaran anak. Yang penting, Muhammad Faiq ada cita-cita yang jelas dan perkara apa yang perlu dia lakukan untuk mencapainya,” katanya.

Seorang lagi pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 9A, Muhammad Akmal Basha Mustafa Kamal Basha, dia mahu menjadikan keputusan tersebut sebagai hadiah kepada kedua ibu bapanya sebagai membalas jasa mereka.

“Keputusan 9A+ ini menjadi hadiah kepada kedua ibu bapa saya, sebab mereka menunjukkan jasa yang amat besar kepada saya, kalau diikutkan kesemua jasa mereka ini tidak terhitung dibandingkan dengan 9A saya ini

“Sekurang-kurangnya, saya boleh buat mereka gembira dan dapat membuka peluang untuk saya melanjutkan pelajaran dan bawa masa depan yang cerah untuk keluarga di masa hadapan,” katanya yang bercita-cita menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN