PETALING JAYA: Usaha membuahkan hasil, pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad berbangga apabila dirinya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 16 kilogram (kg) hanya dengan berjalan menggunakan peralatan senaman ‘walking pad’.
Menurut Uyaina, senaman itu sudah menjadi rutin hariannya untuk dilakukan dalam masa satu jam demi mendapatkan berat badan yang ideal.
“Setiap hari saya akan #SudahJalanKaBelum atas ‘walking pad’. Tapi lepas berat saya mendatar, saya ubah sikit rutin senaman. Saya mula lari dan juga lakukan beberapa senaman lain.
“Sehingga kini saya dah hilang sebanyak 16 kg hanya dengan berjalan. Jujur saya katakan, berjalan adalah senaman yang saya boleh buat setiap hari tanpa penat. Berjalan juga bagus untuk kaki dan jantung,” katanya.
Uyaina berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran video di Instagram, baru-baru ini.
Dalam hantaran yang sama, Uyaina juga menggalakkan individu yang sedang berusaha untuk menurunkan berat badan untuk melakukan senaman tersebut yang turut membantu mengekalkan kesihatan mental dan emosi.
“Buat yang tengah berusaha nak turunkan berat badan, cuba berjalan. Jalan je, jangan fikir, Jangan malas, Jangan bagi alasan, jalan sahaja.
“Anda akan nampak perubahan dari segi berat badan, kehilangan inci, kulit dan paling utama adalah kesihatan mental anda, saya sendiri rasa lebih sihat dan gembira sekarang.
“Saya juga gembira apabila ramai yang buat senaman berjalana atas ‘walking pad’ atau ‘treadmill’ sama macam saya,” jelasnya.-UTUSAN