BERULANGNYA insiden yang tidak sepatutnya berlaku di mana-mana sekolah dalam tempoh masa tidak terlalu lama, kali ini melibatkan acara lelongan arak di dewan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Memburukkan keadaan ia berakhir dengan pergaduhan.
Sebelum ini, di sebuah premis SJKC lain berlaku acara penuh kontroversi apabila adanya peragaan wanita berpakaian menjolok mata pada majlis yang dianjurkan.
Sudah banyak kali kita mendengar tentang beberapa premis SJKC digunakan untuk majlis-majlis yang dipersoalkan kesesuaian penganjurannya di premis sekolah.
Sebarang perkara yang terang-terangan berkait isu moraliti, tidak boleh sesekali dibenarkan penganjurannya di mana-mana premis sekolah. Ini termasuklah di institusi pendidikan swasta yang mahu dibahaskan sebagai bukan hak milik kerajaan. Apatah lagi di institusi pendidikan kerajaan, sama ada yang bersifat bantuan sahaja atau biayaan sepenuhnya.
Ini kerana mana-mana sekolah pun adalah tempat yang bukan sahaja secara simbolik, iaitu mewakili gagasan atau ciri keunggulan tertentu sahaja. Juga ia memang secara hakikinya adalah tempat murni yang sama sekali tidak wajar mempunyai sebarang kaitan dengan apa-apa perkara tidak selari dengan gagasan atau ciri keunggulan sekolah, iaitu sebagai institusi penuh kemurnian selain kemuliaan.
Oleh itu, salah untuk mana-mana pihak menganjurkan sebarang majlis yang didapati terang-terangan tidak mendukung gagasan atau ciri keunggulan sekolah sebagai tempat murni lagi mulia dari segenap sisi.
Hal ini bukan sahaja sangat penting difahami, juga sangat perlu dihayati oleh semua pihak. Ini kerana ia bukan sahaja penting untuk faktor keharmonian. Juga kerana itulah perkara paling waras lagi wajar yang wajib dilakukan.
Sepatutnya etnik Cina yang sangat megah dengan peradaban mereka yang didabikkan sebagai mengandungi segala macam nilai murni, juga mempunyai segala kebijaksanaan untuk tidak sama sekali melakukan perkara yang terang-terangan tidak beradab sifatnya.
Malang sekali, segala kebijaksanaan itu dikompromikan untuk faktor kebendaan. Antaranya ialah penyewaan dewan SJKC kepada pelbagai pihak luar tanpa mengira sifat majlis yang bakal diadakan.
Dalam hal ini, di manakah pertimbangan moral etnik Cina yang tidak dapat dinafikan sudah hilang arah kompas moralnya. Ini kerana kepentingan kebendaan didapati mengatasi persoalan moral yang sangat ditekankan dalam peradaban mereka yang dimegahkan itu.
Alasan guru besar, guru dan murid SJKC berkenaan langsung tidak terlibat dalam acara lelongan arak itu, bukan sahaja sangat Dangkal tetapi bebal. Ini kerana kelihatan nyata sekali bahawa etnik Cina tidak berupaya memahami sisi moraliti penting dalam kes lelongan arak di premis sekolah.
Setidak-tidaknya dalam hal ini, mereka sepatutnya menyedari penganjuran majlis melelong arak di premis sekolah, adalah langkah tidak betul. Ini kerana ia boleh menghantar isyarat tidak betul yang amalan minum arak merupakan perkara tidak baik.
Sewajarnya majlis itu tidak boleh dibenarkan langsung diadakan di mana-mana premis sekolah. Ini harus dilakukan atas dasar amalan minum arak, walaupun untuk hanya berseronok sekali-sekala, sebetulnya tidak mendatangkan apa-apa jua manfaat.
Sebaliknya ia boleh membawa kepada ketagihan. Apabila ini berlaku, ia akan menjahanamkan unit keluarga. Inilah hakikatnya yang sering kita baca dan kekadang lihat sendiri pada banyak kisah benar di sekeliling.
Sebenarnya perkara semudah ini adalah pengetahuan asas lagi wajar wajib ada pada pihak yang waras. Dengan ketiadaan pengetahuan ini, etnik Cina dalam kes ini dan beberapa yang lain, boleh dikatakan tiada kepandaian untuk membuat keputusan baik.
Sebenarnya pengetahuan asas lagi praktikal ini amat penting dalam kehidupan kita. Ia penting sekali kerana pengetahuan begini memang boleh mengelakkan kita daripada menghadapi pelbagai masalah yang pasti bakal timbul.
Oleh kerana etnik Cina secara amnya kurang memiliki pengetahuan ini, mereka disarankan untuk memperkembangkan dan memupuknya melalui pelbagai cara. Antaranya dengan memberi perhatian serius kepada persekitaran, mempelajari daripada pengalaman seperti dalam kes ini dan lain-lain, selain mengamalkan pemikiran kritis untuk muhasabah diri.
Semua cara ini pasti akan membantu dalam memandu etnik Cina memahami kehidupan harian mereka dengan lebih baik. Ini kerana ia melibat penggunaan logik asas yang barangkali tiada selama ini.
Seperkara lebih penting ialah ke manakah perginya kompas moral etnik Cina? Ia yang dimegahkan mereka pada peradaban Cina didapati kini bukan lagi satu set kepercayaan baik-buruk untuk memandu mereka bertindak ke arah kebaikan untuk diri sendiri. Apatah lagi bagi yang lain-lain.
Gejala ini kini begitu terang lagi bersuluh apabila nilai yang diguna pakai etnik Cina untuk membuat pertimbangan dan keputusan etika, bukan sahaja tidak selari lagi dengan peradaban Cina. Juga sangat bertentangan sehingga erti dan tujuan hidup mereka boleh dipertikai.
Natijahnya ialah kompas moral yang merupakan asas mana-mana etnik untuk membuat pertimbangan dan keputusan penuh etika, tidak boleh sesekali luntur, apatah tiada lagi. Ini kerana ia boleh mengakibatkan sesebuah etnik itu bertindak bukan sahaja dengan, sesuka hatinya, iaitu tanpa mengambil kira dampak keburukannya ke atas yang lain-lain.
Juga etnik tertentu itu akan menjadi pihak yang sukar untuk diajak berunding, apatah lagi bagi bekerjasama. Ini kerana mereka selalu membuat banyak perkara yang dampaknya adalah negatif kepada mereka yang lain.
AMBIL TANGGUNGJAWAB
Untuk kes lelongan arak ini, etnik Cina disarankan untuk bertanggungjawab. Ia memang salah.
Oleh itu, jangan sesekali mahu lagi mewajarkannya dengan pelbagai alasan yang tiada apa-apa logik lemah pun, apatah lagi yang kukuh.
Dalam hal ini, etnik Cina tidak boleh lagi terus-terusan mahu mementingkan diri sendiri sahaja pada sepanjang masa. Untuk ini, mereka hendaklah mula bertimbang rasa kepada yang lain-lain.
Dengan ini, etnik Cina akan dilihat mempunyai kekuatan integriti selain harga diri yang tinggi. Jauh lebih penting daripada ini ialah hubungan etnik lain dengan etnik Cina pasti akan bukan sahaja menjadi lebih baik, juga lebih kuat.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










