Sentimen pelabur kekal berhati-hati

Sentimen pelabur kekal berhati-hati

bursa
BURSA Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran saham menunjukkan pergerakan yang berhati-hati dalam dagangan minggu ini berikutan sentimen global yang masih dibayangi ketidaktentuan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS). 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelabur kekal waspada terhadap perkembangan terkini dasar tarif import yang diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump yang dilihat semakin tegas terhadap sekutunya sendiri. 

“Kanada, Mexico dan Kesatuan Eropah adalah antara yang dijangka dikenakan tarif tambahan, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan perdagangan global,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mohd. Afzanizam menjangkakan tindakan AS yang bersifat unilateralisme ini berpotensi merombak lanskap geopolitik serta hubungan perdagangan antarabangsa yang telah lama terjalin. 

“Langkah tersebut bukan sahaja meningkatkan risiko perang perdagangan, malah boleh menjejaskan kestabilan ekonomi negara-negara sedang membangun, termasuk Malaysia yang bergantung kepada rantaian bekalan global.

“Pasaran sedang menunggu penjelasan lanjut mengenai kesan langsung terhadap sektor eksport dan aliran pelaburan asing. 

“Buat masa ini, pelabur mengambil pendekatan berhati-hati sambil memantau tindak balas daripada negara-negara terlibat,” katanya.

Beliau menjelaskan, dengan ketidaktentuan ini, pasaran tempatan dijangka kekal tidak menentu dalam jangka pendek, sementara pemain industri dan kerajaan terus menilai semula strategi perdagangan mereka dalam menghadapi perubahan drastik dalam landskap global.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil pula berkata, Bursa Malaysia terus menunjukkan prestasi yang lemah, memasuki minggu ketiga tanpa sebarang pemulihan ketara. 

Katanya, pemerhatian terhadap bursa mendapati sentimen pelabur kekal berhati-hati, dengan volum dagangan harian yang kekal rendah.

“Pelabur masih enggan mengambil risiko dalam suasana ketidaktentuan global yang berterusan, termasuk dasar perdagangan AS dan prospek ekonomi global yang suram.

“Pelabur institusi kini menumpukan kepada kaunter-kaunter terpilih yang mempunyai asas kukuh, kedudukan kewangan yang stabil serta rekod pembayaran dividen yang baik. 

“Ini menunjukkan bahawa mereka masih mencari nilai jangka panjang, tetapi dengan pendekatan yang sangat terpilih,” katanya. 

Sementara itu, Mohd. Rizal berkata, pelabur runcit dilihat mengambil pendekatan tunggu dan lihat, menanti isyarat pasaran yang lebih jelas sebelum kembali aktif.

“Dalam keadaan pasaran yang tidak menentu ini, para penganalisis menasihatkan pelabur agar kekal fokus kepada saham-saham berasaskan asas yang kukuh dan berpotensi memberikan pulangan jangka panjang. 

“Beli dan simpan saham berkualiti tinggi dalam sektor strategik adalah strategi terbaik dalam tempoh seperti ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, jelasnya, ringgit pula kekal lemah, berlegar antara paras 4.20 hingga 4.25 berbanding dolar AS. 

“Paras ini dijangka berterusan dalam masa terdekat berikutan ketiadaan sokongan belian yang signifikan terhadap mata wang tempatan.

“Kelemahan ringgit turut dipengaruhi oleh faktor luaran, termasuk jangkaan pasaran terhadap data inflasi AS yang akan diumumkan minggu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×