Hakim persoal peguam Najib, bimbang bicara tiada penghujung

‘Adakah saya perlu biar perbicaraan hingga Jho Low, Roger Ng datang?’

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Jadi sehingga bila perbicaraan ini akan berterusan? Adakah saya perlu membiarkan kes ini terbuka sehingga Jho Low atau Roger Ng datang ke mahkamah?”

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengutarakan pertanyaan tersebut kepada peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas memaklumkan pihaknya ingin memanggil beberapa saksi bagi mengetahui keberadaan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa.

Terdahulu, Penasihat Undang-Undang Kementerian Dalam Negeri, Muhammad Ilmami Ahmad memaklumkan mahkamah bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain akan memfailkan permohonan untuk membatalkan sapina yang dihantar oleh pembelaan.

Katanya, sapina itu diterima pada 14 April lalu dan tidak menyatakan alasan kepada Razarudin perlu memberi keterangan dalam perbicaraan tersebut.

Hakim Sequerah: Awak ingin memanggil Ketua Polis Negara untuk mengetahui di mana Roger Ng. Lepas itu adakah awak ingin memanggil Roger Ng sebagai saksi?

Wan Azwan Aiman: Buat masa ini kami hanya ingin menemuramahnya sahaja.

Hakim Sequerah: Siapa lagi saksi dari Kementerian Dalam Negeri, Ketua Polis Negara yang pembelaan nak dipanggil. Saya perlu tahu sama ada kes ini boleh diselesaikan dalam tempoh masa tertentu atau tidak.

Wan Azwan Aiman: Kami ingin memanggil beberapa individu tetapi ada yang telah kemuka permohonan untuk batalkan sapina, ada saksi ditawarkan tetapi di luar negara.

Hakim Sequerah: Sapina telah diserahkan kepada saksi-saksi (yang berada di luar negara)?

Wan Azwan Aiman: Belum.

Hakim Sequerah: Kalau awak (pembelaan) dah serahkan sapina dan saksi-saksi tidak datang pada tarikh yang ditetapkan, saya boleh keluarkan waran tangkap. Awak tak boleh buat mahkamah ini seperti tebusan, (terpaksa) mengikut kesenangan mereka.

Wan Azwan Aiman: Bukan kami tidak berusaha tetapi kami menghadapi halangan. Tetapi adalah sesuatu yang boleh dipuji kami mampu memanggil hampir 20 orang saksi dalam tempoh empat bulan.

Dalam kes membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. melibatkan Najib, peringkat bela diri hanya mengambil masa selama 33 hari untuk memanggil 19 orang saksi sebelum kes pembelaan ditutup.

Pada ketika ini, saksi pembelaan ke-20, Pengarah Kanan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Mohd. Hafaz Nazar memberi keterangan.

Sebelum ini, pembelaan turut mengeluarkan sapina kepada Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) sehari sebelum individu terbabit dipanggil memberi keterangan.

Namun permohonan membatalkan sapina itu masih belum didengar oleh mahkamah.

Untuk rekod, perbicaraan kes 1MDB telah berlanjutan sejak tujuh tahun lalu iaitu bermula pada  28 Ogos 2019.

Najib kini diperintahkan untuk membela diri pada 30 Oktober 2024 dan beliau telah mula memberikan keterangan bela diri bermula 2 Disember tahun lalu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN