MELAKA: Sebanyak 4,000 kampit Beras Melaka mula dijual pada harga RM26 bagi sekampit 10 kilogram di empat lokasi iaitu pasar tani, Agrobazaar Kedai Rakyat, Program Jualan Agro Madani dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
Buat masa ini, pembelian Beras Melaka dihadkan hanya sekampit untuk satu keluarga manakala jualan akan dikendalikan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, terdapat enam pasar tani iaitu di Alor Gajah, Masjid Tanah, Lubok China, Merlimau, Jasin dan Selandar dan 28 Agrobazaar Kedai Rakyat di seluruh Melaka.
“Lokasi jualan akan sentiasa dikemas kini bergantung kepada jadual aktiviti FAMA Melaka,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Beras Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, syarat had pembelian itu hanya bersifat sementara, kerana menunggu pengeluaran beras fasa kedua.
“Kita menjangkakan pengeluaran beras pada fasa kedua meningkat sehingga lima kali ganda. Jadi buat sementara waktu kita hadkan pembelian sekampit Beras Melaka bagi satu keluarga.
“Beras Melaka juga dilarang dijual kepada warga asing dan pembeli akan diminta menunjukkan kad pengenalan bagi tujuan pengesahan sekiranya perlu,” ujarnya. – UTUSAN