SEREMBAN: Had laju maksimum di kawasan sekolah kepada 30 kilometer per jam (km/j) akan diwartakan dalam tempoh terdekat bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya terutama pelajar sekolah.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke berkata, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) telah membuat keputusan mengenai dasar untuk menurunkan kadar had laju di semua kawasan zon sekolah daripada 50 km/j kepada 30 km/j.
“Ini merupakan satu data saintifik yang telah pun dibuat kajian yang mana kalau dapat dikurangkan kepada 30 km/jam, risiko kematian akibat daripada kemalangan agak rendah.
“Secara purata, sebanyak 70 kes kematian direkodkan setiap tahun akibat kemalangan di kawasan sekolah melibatkan pengguna jalan raya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Siew Foke berkata, langkah menurunkan had kelajuan tersebut dibuat mengikut piawaian antarabangsa dan bukanlah perkara baharu.
“Tindakan pengazetan had laju ini juga memerlukan tindakan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Ia tertakluk kepada sekolah itu terletak di mana, kalau ia di jalan Persekutuan di bawah JKR dan jika di bawah jalan perbandaran atau di taman-taman perumahan, ia perlu digazetkan oleh PBT,” katanya.
Siew Foke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, kawasan sekolah merupakan zon penting untuk diberi perhatian bagi memastikan keselamatan orang ramai terutama para pelajar.
“Semua ini memerlukan tindakan susulan, MKJR akan menggerakkan program tersebut tahun ini di sekolah-sekolah terpilih supaya kita dapat menjadikan ia satu program yang dapat memberikan impak positif kepada para pelajar,” katanya.
Beliau berkata, langkah-langkah keselamatan lain juga perlu disediakan antaranya garisan kuning, papan tanda amaran dan pengawal lalu lintas.
Dalam pada itu, Siew Foke berkata, bagi melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang boleh menerajui inisiatif keselamatan jalan raya berasaskan sistem selamat, kerajaan melalui MKJR akan mengadakan program Fellowship Kepimpinan Keselamatan Jalan Raya tahun ini. – UTUSAN