Generasi ketiga teruskan penyediaan nasi kebuli warisan istana

Generasi ketiga teruskan penyediaan nasi kebuli warisan istana

ENDON EMBONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kemahiran memasak nasi kebuli yang menjadi hidangan istimewa di istana satu ketika dahulu, kini diwarisi generasi ketiga bekas pekerja istana untuk dinikmati masyarakat sekarang.

Pengusaha nasi kebuli, Endon Embong, 66, berkata, dia adalah generasi ketiga yang mewarisi kemahiran menyediakan hidangan itu daripada datuk dan bapanya yang pernah bekerja di istana.

Katanya, resipi itu diturunkan dari setiap generasi dengan mengekalkan semua bahan herba tradisional sebagai rahsia utama penyediaan nasi kebuli.

“Setahu saya, penyediaan nasi ini ada beberapa versi mengikut negeri antara yang terkenal di Pahang dan Terengganu. Ia juga terkenal dengan panggilan nasi buli yang sedap dimakan dengan gulai ikan aya dan acar timun sama seperti lauk yang dimakan dengan nasi dagang.

“Ada juga versi nasi yang dimakan dengan gulai daging, gulai ayam, daging goreng dan ikan masin yang boleh diolah mengikut cita rasa masing-masing,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Sabtu di sini.

Antara rempah ratus yang digunakan untuk menyediakan nasi kebuli adalah bunga lawang, cengkih, ketumbar, jintan manis, lada hitam, halba, kulit kayu manis dan pelaga.

Endon berkata, semua bahan itu ditumis dan direbus, lantas menjadikan nasi kebuli sangat kaya dengan pelbagai khasiat herba tradisional serta haruman aroma semula jadi.

Ketika ini, dia mengambil tempahan nasi kebuli di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus iaitu RM200 untuk satu gantang (empat kilogram beras). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya