Rantau Asia Timur, Pasifik catat prestasi kukuh, perlu wujud banyak pekerjaan berkualiti - Utusan Malaysia

Rantau Asia Timur, Pasifik catat prestasi kukuh, perlu wujud banyak pekerjaan berkualiti

AADITYA Mattoo
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rantau Asia Timur dan Pasifik terus mencatat prestasi ekonomi yang kukuh berbanding kebanyakan kawasan lain di dunia, namun terdapat keperluan untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti dan mengekalkan momentum pertumbuhan memerlukan pembaharuan dasar yang berani.

Dalam Laporan Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Oktober 2025, Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi serantau sebanyak 4.8 peratus bagi tahun ini, sedikit menurun berbanding 5.0 peratus pada 2024.

“Vietnam mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 6.6 peratus, diikuti oleh Mongolia (5.9 peratus) dan Filipina (5.3 peratus). 

“China, Kemboja, dan Indonesia masing-masing dijangka berkembang pada kadar 4.8 peratus, manakala negara-negara Kepulauan Pasifik dijangka mencatatkan 2.7 peratus dan Thailand pada 2.0 peratus,” katanya dalam laporan tersebut. 

Selain itu, model pembangunan inklusif yang berjaya di Asia Timur kini menghadapi cabaran baharu. 

Katanya, pertumbuhan pekerjaan baru-baru ini banyak tertumpu dalam sektor perkhidmatan berproduktiviti rendah dan tidak formal, yang menawarkan peluang peningkatan yang terhad. 

Tambahan pula, golongan muda bergelut untuk mendapatkan pekerjaan, manakala penyertaan wanita dalam tenaga kerja masih rendah.

“Walaupun 25 juta orang dijangka keluar daripada kemiskinan antara 2025 dan 2026, bahagian penduduk yang terdedah untuk kembali miskin kini melebihi bilangan kelas pertengahan di kebanyakan negara di rantau ini.

“Rantau ini berdepan satu paradoks pekerjaan,  pertumbuhan ekonomi yang agak kukuh tetapi penciptaan pekerjaan berkualiti yang tidak mencukupi,” katanya. 

Sementara itu, Naib Presiden Bank Dunia bagi Asia Timur dan Pasifik, Carlos Felipe Jaramillo berkata, pembaharuan yang lebih berani untuk menghapuskan halangan kepada kemasukan firma dan persaingan akan membuka modal swasta dan membolehkan firma yang dinamik dan produktif berkembang serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu. 

“Bank Dunia kekal sebagai rakan setia kepada komitmen rantau ini terhadap pertumbuhan inklusif yang sepadan dengan cita-cita rakyatnya,” katanya. 

Penunjuk aktiviti ekonomi frekuensi tinggi menunjukkan momentum yang semakin perlahan. 

Selain itu, jualan runcit meningkat, tetapi keyakinan pengguna masih belum pulih ke tahap pra-Covid. 

Di samping itu, pengeluaran industri kekal kukuh, tetapi keyakinan perniagaan adalah rendah. 

Eksport meningkat menjelang kenaikan tarif baru-baru ini, namun pesanan eksport baharu adalah lemah dan pertumbuhan pada 2026 dijangka menurun kepada 4.3 peratus. 

Hasil pertumbuhan akan dipengaruhi oleh peningkatan sekatan perdagangan, ketidaktentuan global yang masih tinggi walaupun berkurangan, pertumbuhan global yang perlahan, serta pilihan dasar domestik terutamanya kebergantungan sesetengah negara kepada rangsangan fiskal berbanding pembaharuan struktur.

Laporan ini menggesa pembaharuan dan pelaburan dalam modal insan dan infrastruktur digital, peningkatan persaingan dalam sektor perkhidmatan, dan dasar-dasar untuk memastikan padanan antara peluang pekerjaan dengan kemahiran rakyat. 

Kemajuan pesat dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), robotik dan platform digital menuntut kemahiran baharu serta kebolehsuaian yang lebih tinggi daripada firma, pekerja dan penggubal dasar.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Asia Timur dan Pasifik, Aaditya Mattoo berkata, pertumbuhan yang berasaskan eksport dan tenaga kerja intensif di Asia Timur telah membawa satu bilion orang keluar daripada kemiskinan dalam tiga dekad yang lalu, tetapi rantau ini kini berdepan dua cabaran utama iaitu perlindungan perdagangan dan automasi pekerjaan. 

“Pembaharuan iklim perniagaan dan penambahbaikan dalam pendidikan boleh mencetuskan kitaran positif antara peluang dan keupayaan, yang membawa kepada pertumbuhan lebih tinggi dan pekerjaan yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN