PETALING JAYA: Masa depan perkhidmatan awam di rantau ASEAN perlu digerakkan melalui kerjasama rentas negara yang kukuh serta penerapan inovasi dasar bersesuaian dengan perubahan global.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pendekatan berasaskan kepimpinan berwawasan dan keupayaan tindak balas adaptif diyakini menjadi kunci untuk memastikan sektor awam terus relevan dan berkesan dalam memenuhi keperluan rakyat di seluruh rantau ini.
“Kita diingatkan bahawa tiada negara mampu bergerak maju bersendirian dalam dunia yang berubah pantas.
“Perubahan iklim, ketegangan geopolitik, gangguan teknologi dan isu kesihatan global adalah cabaran rentas sempadan.
“Untuk menanganinya, kita mesti bersedia menilai semula tadbir urus, berkolaborasi dan berinovasi dalam mencari penyelesaian,” katanya ketika berucap Majlis Penutup Persidangan ASEAN Kesediaan Perkhidmatan Awam di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Dahlan berkata, persidangan itu turut menumpukan pengadaptasian inovasi dan transformasi digital melalui peranan teknologi dalam membentuk perkhidmatan awam yang lebih efisien, telus serta inklusif.
“Namun, ia mesti dimanfaatkan secara bijaksana agar memastikan akses, kepercayaan dan keadilan tanpa ada rakyat yang terpinggir.
“Justeru, inovasi di ASEAN perlu berteraskan manusia serta mampu membina kepercayaan antara kerajaan dan rakyat, seterusnya mengukuhkan integrasi serantau dalam era digital ini,” katanya.
Selain itu, katanya, kekuatan sektor perkhidmatan awam bukan sahaja pada teknologi atau sumber, tetapi pada tenaga kerja.
Jelas beliau, pembangunan kapasiti berterusan, latihan kemahiran masa depan serta pembentukan pemimpin yang beretika, berempati dan berteraskan nilai-nilai murni perlu ada dalam setiap penjawat awam.
“ASEAN perlu merangka strategi untuk membina tenaga kerja yang tangkas dan berdaya tahan.
“Dengan gabungan bakat, misi dan kemahiran digital, kita akan dapat berkhidmat kepada rakyat dengan profesionalisme, integriti dan belas ihsan, meskipun dalam era penuh cabaran,” katanya.
Beliau berkata, persefahaman antara negara-negara ASEAN merupakan satu kesepakatan yang sangat utuh yang mampu membantu memperkukuhkan sektor perkhidmatan awam di negara masing-masing.
“Kita saling melengkapi, bukannya melihat kelemahan tetapi kita belajar daripada kelebihan masing-masing untuk diterjemahkan dalam perkhidmatan awam negara masing-masing,” katanya.-UTUSAN










