CANBERRA: Australia menjangka jumlah kematian akan melebihi kelahiran buat kali pertama pada dekad 2060-an, perubahan demografi yang dijangka memberi kesan besar terhadap ekonomi negara itu.
Unjuran itu dibuat ketika Australia berdepan populasi yang semakin menua, kadar kelahiran merosot serta pertumbuhan migrasi yang semakin perlahan.
Selama beberapa dekad, Australia bergantung kepada kemasukan pendatang untuk mengekalkan pertumbuhan penduduk dan mengimbangi kadar kelahiran yang rendah.
Dengan kemasukan pendatang kini semakin berkurangan, Australia mula berdepan keadaan yang sudah berlaku di beberapa negara maju seperti Jepun, Jerman dan Korea Selatan, apabila jumlah kematian melebihi kelahiran.
Dalam Laporan Antara Generasi yang diterbitkan pada Isnin, Jabatan Perbendaharaan mengenal pasti kecerdasan buatan (AI), perpecahan geopolitik, peralihan tenaga, populasi menua dan perubahan kepada ekonomi berasaskan perkhidmatan sebagai lima faktor utama yang akan mempengaruhi prospek ekonomi negara dalam tempoh empat dekad akan datang.
Jabatan itu menjangka pertumbuhan penduduk Australia akan perlahan kepada 0.9 peratus setahun dalam tempoh empat dekad akan datang, susulan kemerosotan kadar kesuburan dan penurunan migrasi bersih luar negara.
Migrasi bersih luar negara merujuk kepada perbezaan antara jumlah penduduk yang masuk ke Australia dengan mereka yang meninggalkan negara itu.
Kadar pertumbuhan penduduk itu lebih rendah berbanding purata 1.4 peratus setahun yang direkodkan dalam tempoh 40 tahun lalu.
Menteri Perbendaharaan Australia, Jim Chalmers, berkata jumlah kematian dijangka melebihi kelahiran buat kali pertama pada dekad 2060-an.
“Buat kali pertama, jumlah kematian diunjurkan melebihi kelahiran menjelang dekad 2060-an,” katanya dalam satu ucapan.
“Jumlah penduduk Australia berusia lebih 85 tahun pula dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2066, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap perkhidmatan kesihatan.”
Kerajaan pimpinan Parti Buruh yang berhaluan kiri itu mengetatkan peraturan imigresen minggu lalu ketika Perdana Menteri, Anthony Albanese, berusaha membendung peningkatan sokongan terhadap parti populis berhaluan kanan, One Nation, yang berjanji mengurangkan kemasukan pendatang secara ketara.
Penilaian terhadap Albanese turut merosot minggu ini ke tahap terendah sejak beliau menjadi perdana menteri pada 2022.
Laporan itu turut memberi amaran populasi yang semakin menua akan meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan, selain menyebabkan kekurangan tenaga kerja dalam sektor kesihatan dan penjagaan warga emas, khususnya di kawasan yang mempunyai jumlah penduduk berusia lebih tinggi.- AGENSI











