KULAI: Pengetua sekolah menengah swasta di Kulai telah meletakkan jawatan susulan insiden pelajar sekolah tersebut menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk membuat gambar lucah pelajar perempuan lain.
Menerusi satu kenyataan dikeluarkan, Lembaga Pengarah sekolah tersebut bersetuju dan menerima surat perletakan jawatan pengetua berkenaan yang dibuat pada 12 April lalu.
“Lembaga Pengarah sekolah mengambil serius perkara ini. Menerusi mesyuarat bulanan diadakan pada 17 April, kami sebulat suara bersetuju dan menghormati keputusan pengetua.
“Selain itu, satu pasukan bebas terdiri daripada lima orang ahli turut ditubuhkan untuk menyemak aduan dikemukakan bekas pelajar sekolah berkenaan berhubung perkara itu,” jelas kenyataan yang dikeluarkan dalam bahasa Mandarin itu.
Tambah kenyataan itu, pihak sekolah akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut prosedur telah ditetapkan melibatkan peralihan pengurusan serta pelantikan kepimpinan baharu.
“Langkah ini bertujuan memastikan operasi sekolah berjalan lancar serta terus menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang kondusif kepada guru dan pelajar,” tambah kenyataan itu.
Terdahulu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Teo Nie Ching memaklumkan pentadbiran sekolah berkenaan telah maklum akan perkara tersebut sejak tahun lalu.
“Perkara ini bagaimanapun hanya menjadi tular selepas salah seorang mangsa membuat laporan polis secara peribadi,” ujarnya dalam satu sidang akhbar yang diadakan pada 12 April lalu.
Difahamkan seramai 38 mangsa telah dikenalpasti bahawa gambar mereka disunting menggunakan teknologi AI untuk dijadikan bahan lucah sebelum dijual di media sosial. – UTUSAN