KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,184 kes kemalangan direkodkan berlaku di Jalan Persekutuan seluruh negara melibatkan lokasi yang tiada lampu jalan dari 2023 hingga Julai 2025.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi mengatasi masalah itu, 256 lokasi terpilih sedang dijalankan kerja pemasangan lampu jalan baharu tahun ini dan kos keseluruhannya berjumlah RM25 juta.
“Keberkesanan pemasangan lampu jalan terutamanya di kawasan lokasi kemalangan atau berisiko kemalangan sentiasa dilaksanakan oleh kementerian dan Jabatan Kerja Raya (JKR), di samping mengenal pasti lokasi-lokasi baharu yang memerlukan lampu jalan.
“Program pemasangan lampu jalan ini akan diteruskan pelaksanaannya agar aspek keselamatan jalan raya sentiasa dapat dipertingkatkan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, semalam.
Alexander berkata, bagi menangani isu berkaitan jalan berlubang yang boleh menyumbang kepada kemalangan, tampalan akan dilaksanakan dalam tempoh 24 jam sebaik sahaja aduan diterima dan juga menerusi rondaan dijalankan secara berkala.
“Ini bagi memastikan sebarang kerosakan kecil pada permukaan jalan dapat diambil tindakan dalam kadar segera dan tidak membahayakan pengguna jalan raya.
“Kementerian Kerja Raya melalui JKR sentiasa komited dalam memastikan jalan raya sentiasa dalam keadaan yang selamat dan selesa dengan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan rutin sepanjang tahun,” katanya. – UTUSAN










