Penyelenggaraan rapi, jaminan keselamatan Menara Taming Sari

Penyelenggaraan rapi, jaminan keselamatan Menara Taming Sari

MENARA berkonsep gyro tower pertama Malaysia ini dibuka kepada umum pada 18 April 2008.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENARA Taming Sari yang merupakan mercu tanda pelancongan negeri Melaka bukan sahaja gah dengan ketinggian 110 meter dan tarikan visual 360 darjah, malah turut menjadi simbol kepercayaan pengunjung terhadap tahap keselamatan hasil penyelenggaraan rapi dan sistematik yang diamalkan sejak mula beroperasi.

Terletak Banda Hilir, menara berkonsep gyro tower pertama Malaysia ini dibuka kepada umum pada 18 April 2008, dan sejak itu ia dikendalikan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk pemeriksaan harian, mingguan, bulanan serta penyelenggaraan tahunan.

Dengan menggunakan teknologi dari Switzerland, menara berinspirasikan keris legenda Taming Sari milik pahlawan Melaka, Hang Tuah ini mampu membawa sehingga 60 pelawat dalam satu sesi berdurasi tujuh minit.

Menawarkan pemandangan bandar bersejarah Melaka dan Selat Melaka, kelebihan menara ini bukan sekadar keindahan visual, malah tahap keselamatan diiktiraf antarabangsa, termasuk memperoleh pensijilan TUV NORD Malaysia hasil daripada pematuhan terhadap piawaian pemeriksaan tahunan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nur Azan Hassan berkata, penekanan terhadap aspek keselamatan adalah keutamaan syarikat dalam memastikan pengunjung merasai pengalaman yang selamat dan menyenangkan.
“Setiap pagi dari pukul 8 hingga 9 pagi, pasukan teknikal kami akan melakukan pemeriksaan menyeluruh berdasarkan senarai semak. Hanya selepas semuanya disahkan selamat, barulah operasi bermula.

“Menara ini beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 10 malam, dan tidak akan dibuka sekiranya didapati berlaku sebarang kerosakan atau ketidakstabilan sistem,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

PENYELENGGARAAN BERKALA
Menurut Nur Azan, sistem penyelenggaraan berkala yang diamalkan merangkumi preventive maintenance harian hingga tahunan bagi mengelakkan sebarang risiko kerosakan teknikal, termasuk komponen penting seperti motor, inverter dan kabel utama.

“Pemeriksaan ini sama seperti prosedur sebuah pesawat sebelum berlepas. Setiap komponen termasuk motor, inverter dan kabel diperiksa berkala bagi menjamin ia sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

“Penyelenggaraan tahunan lazimnya melibatkan kerja berskala besar seperti penukaran kabel utama dan sistem dram yang memerlukan operasi menara dihentikan antara dua hingga empat minggu,” katanya.

Sebahagian kerja dilakukan oleh pasukan teknikal dalaman, manakala kerja bersifat khusus melibatkan khidmat pembekal asal dari Switzerland serta pihak ketiga tempatan yang diiktiraf.

“Alat ganti memang kita import, tetapi proses pembelian dilakukan sendiri bagi mempercepatkan urusan dan meminimumkan masa henti.

“Kos penyelenggaraan tahunan dianggarkan antara RM100,000 hingga RM500,000 bergantung kepada keperluan semasa dan kadar tukaran mata wang asing,” katanya.

BARISAN pengurusan tertinggi Menara Taming Sari, Nur Azan Hassan (tengah), Mohd. Zulhilmi Kamaruddin (kanan) dan Mohd. Husni Husin bergambar di hadapan Menara Taming Sari yang menjadi mercu tanda ikonik pelancongan Melaka. – UTUSAN/AMRAN ALI

 

Sementara itu, Pengurus Teknikal, Mohd. Zulhilmi Kamaruddin berkata, walaupun terdapat kenaikan kos akibat penyusutan nilai ringgit, pihak pengurusan sentiasa memastikan semua pembelian dilakukan mengikut keperluan sebenar.

“Menara ini juga dilengkapi sistem keselamatan berlapis termasuk motor brake, brek hidraulik dan cage brake, sebagai langkah tambahan jika berlaku sebarang kegagalan sistem.

“Cage brake ini paling penting kerana jika kabel utama terputus, sistem mekanikal ini akan mengunci kabin secara automatik berdasarkan kelajuan jatuhan,” katanya.

Tambah Zulhilmi, Menara Taming Sari juga mempunyai sistem motor sokongan dan kawalan menerusi PLC (programmable logic controller) untuk memastikan kabin tetap boleh diturunkan sekiranya berlaku kerosakan utama.

“Jika berlaku gangguan, sistem akan beralih kepada mod kecemasan secara automatik dan kabin akan turun seperti biasa, cuma ambil masa sedikit.

“Insiden teknikal yang berlaku pada 2022 menjadi pengajaran penting buat pengurusan untuk menambah baik aspek kawalan dan komunikasi ketika kecemasan.

“Staf kami juga dilatih berterusan termasuk dengan kerjasama Bomba untuk menghadapi sebarang situasi luar jangka,” katanya.

KESELAMATAN, KESELESAAN PENGUNJUNG
Menurutnya, Menara Taming Sari kini mempunyai seramai 40 kakitangan merangkumi bidang teknikal, operasi, perkhidmatan pelanggan dan keselamatan.

Jika berlaku kelewatan operasi atau gangguan sementara, komunikasi antara petugas atas dan bawah dilakukan secara berterusan menggunakan walkie-talkie.

“Langkah ini bagi memastikan pengunjung tidak panik dan sentiasa mendapat maklumat terkini dalam kabin.

“Selain itu, pengurusan menara turut menaik taraf sistem komunikasi daripada teknologi 2.4G kepada 5G termasuk kemaskini perisian dan sistem operasi terkini.

“Langkah ini bagi memastikan kestabilan dan keberkesanan komunikasi semasa operasi mahupun dalam keadaan kecemasan,” katanya.

Katanya, dari segi operasi, menara itu melalui kira-kira 16,000 kali naik dan turun setahun atau secara purata 70 hingga 80 kali naik dan turun sepanjang beroperasi 13 jam sehari.

“Dari segi cabaran harian, faktor cuaca seperti hujan lebat, angin kencang dan jarak penglihatan terhad menjadi penyebab utama gangguan operasi.

“Apabila cuaca tidak mengizinkan, kita hentikan operasi serta-merta demi keselamatan dan keselesaan pengunjung,” ujarnya.

MUHD Firdaus Abdul Rahman (kanan) dan Muhammad Hafizal Dzul (kiri) membuat penyelenggaraan di Menara Taming Sari di Bandar Hilir. – UTUSAN/ARIF HAMIZAN MISKON

 

SASAR 700,000 PENGUNJUNG
Pengurus Pemasaran Melaka Taming Sari, Mohd. Husni Husin berkata, untuk kekal relevan sebagai destinasi pilihan, pelbagai promosi dan pakej menarik diperkenalkan secara berterusan.

“Kami lancarkan pakej night view, pelajar dan kerjasama dengan syarikat korporat bagi menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Bersempena Tahun Melawat Melaka 2025 dan sambutan Hari Pelancongan Dunia (WTD), syarikat menyasarkan kehadiran seramai 700,000 pengunjung.

“Tahun lalu, kita menerima 580,000 pengunjung dan hingga Julai tahun ini, lebih 300,000 orang sudah menaiki menara ini.

“Sebanyak 80 peratus pelawat terdiri daripada pelancong tempatan manakala bakinya dari luar negara seperti Indonesia, Singapura, China dan India,” katanya.

Mohd. Husni berkata, promosi akan diteruskan secara konsisten bagi memastikan nama Menara Taming Sari terus kekal dalam ingatan pengunjung.

“Kepuasan dan keselamatan pengunjung adalah keutamaan kami. Menara Taming Sari akan terus menjadi produk pelancongan yang diyakini dan dipercayai.

“Kami mengajak rakyat Malaysia khususnya yang belum pernah menaiki menara itu agar datang dan merasai sendiri pengalaman unik yang ditawarkan.

“Rasai pengalaman menikmati pemandangan 360 darjah dari 110 meter ketinggian. Insya-Allah, ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN