KANGAR: Mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikatakan pada Rabu ini diharap dapat merungkai dakwaan membabitkan penyelewengan yang berlaku dalam pemilihan parti, khususnya keanehan yang menyaksikan kumpulan tertentu menyapu bersih jawatan di peringkat cabang, namun calon ketua cabang mereka tewas.
Trend yang berlaku di banyak tempat dan digelar sesetengah pihak sebagai fenomena ‘badan tanpa kepala’ itu turut berlaku terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling di Cabang Kangar dengan beliau telah mengemukakan bantahan.
Dalam pemilihan merebut jawatan Ketua PKR Cabang Kangar, hanya Ay Ling sahaja yang tewas di sebalik semua calon pasukannya bagi jawatan timbalan ketua cabang, naib ketua cabang dan seluruh ahli jawatankuasa termasuk sayap wanita menang.
Ay Ling berharap semua pihak berkaitan, khususnya Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan semua MPP dapat memainkan peranan memberikan pencerahan berhubungan pertikaian yang berlaku dalam pemilihan parti.
Katanya, sangat menghairankan apabila hanya ketua sahaja yang tewas, namun seluruh pasukan menang dan ia berlaku di banyak cabang.
Ujarnya, persoalan sama ada melibatkan masalah teknikal sistem baharu atau sebaliknya perlu diberikan pencerahan.
“Apa yang berlaku itu agak menghairankan dan kita tidak pasti ia melibatkan masalah teknikal atau soal lain. Kita mengemukakan bantahan bukan disebabkan tidak setuju dengan keputusan sebaliknya inginkan pencerahan.
“Selain itu, tidak perlu ada sebarang pengundian semula sebaliknya cukup dengan memeriksa semula data keputusan berkenaan dalam sistem itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mesyuarat tergempar MPP PKR dilaporkan akan diadakan Rabu ini bagi membincangkan dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung.
Selain Ay Ling, ia turut melibatkan Muhammad Bakhtiar Wan Chik di Cabang Balik Pulau, Mohd. Kamri Kamaruddin di Cabang Ampang, Chua Wei Kiat di Cabang Selayang, Rodziah Ismail di Cabang Shah Alam, dan Ginie Lim di Cabang Alor Gajah.
Tambah Ay Ling, beliau telah mengemukakan bantahan pada 15 April lalu dan menunggu perkembangan selepas ini.
“Walaupun pemilihan PKR di Perlis telah berlalu, namun banyak pertikaian dan persoalan berkenaan pola dan corak keputusan yang agak pelik bukan sahaja untuk Cabang Kangar tetapi banyak lagi cabang yang mengalami keadaan serupa di seluruh Malaysia.
“Saya telah kemukakan bantahan saya secara rasmi kepada pihak JPP untuk siasatan dan tindakan lanjut terutama semak semula Borang Keputusan (Borang 14) pada 15 April 2025. Seperti mana dalam slogan pemilihan kali ini, ‘Bersih, Telus dan Adil’, kami semua berharap siasatan lanjut itu dapat dijalankan dengan baik dan teliti dengan segala aspek benar dan betul.
“Kami berharap JPP yang diberi tanggungjawab penuh dalam pengurusan pemilihan parti kali ini akan ambil langkah yang betul dan lakukan semakan serta penilaian semula dengan adil dan saksama. Pasukan kami yakin dan pasti bahawa tindakan yang perlu akan diambil oleh JPP di mana prinsip keadilan tetap sebagai tonggak perjuangan dalam PKR,” katanya. – UTUSAN